Saingan Piala Malaysia akan membuka tirai pada Rabu ini namun gosip berkenaan perpindahan pemain dari satu kelab ke satu kelab lain semakin rancak menjadi bualan para pemerhati bola sepak di Malaysia.
Ada sesetengah gosip itu dari sumber dipercayai dan ada juga pemain itu sendiri yang memberi isyarat seperti mereka akan bermula di destinasi baharu.
Terbaharu, pemain import Terengganu, Tchetche Kipre ada memuat naik satu ‘story’ di Instgram milik beliau dengan mengatakan ini adalah Malaysia dan ‘destinasi seterusnya’ sambil tertera Jalur Gemilang dan bendera Sabah.
Adakah ini gambaran untuk memberi tahu peminat Terengganu yang beliau akan berhijrah ke pasukan baharu musim hadapan?
Untuk rekod, beliau memulakan karier di Liga Malaysia bersama skuad Penyu selama tiga musim dan berhijrah ke Kedah untuk dua tahun sebelum kembali ke Terengganu pada 2022.
Kehadiran beliau ternyata memberi impak positif selepas berjaya membantu skuad kendalian Nafuzi Zain mencipta beberapa kejayaan.
Antaranya meraih tempat kedua Liga Super dan layak ke Piala AFC musim hadapan serta membawa Terengganu ke pentas akhir Piala FA.
Apakah Kipre sanggup melepaskan peluang untuk beraksi di Piala AFC musim hadapan kerana Sabah belum tentu akan beraksi di pentas tersebut.
Atau jika pasukan itu turut layak, beliau akan terbang ke Borneo?
Pemain berusia 34 tahun ini pernah membantu Kedah layak ke pentas Piala AFC namun sanggup tinggalkan pasukan itu untuk kembali ke Terengganu. Skrip sama akan berulang lagi?
Jika benar Kipre akan berhijrah, ia satu tamparan hebat buat pasukan ini kerana dipercayai mereka juga akan kehilangan beberapa tonggak penting musim hadapan.
Malahan ketua pasukan Terengganu itu juga merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 13 jaringan dalam saingan Liga Super.
Gosip berkenaan Nafuzi akan berkelana ke Utara semakin kuat sementara pemain paling penting dalam pasukan sehingga membantu kejayaan Terengganu, Faisal Halim juga memberi bayangan untuk musim hadapan.
Musim ini Faisal begitu cemerlang bersama skuad Penyu selepas menjadi individu kedua terbanyak dalam bantuan jaringan dan antara pemain yang cetak gol terbanyak untuk Terengganu dengan enam jaringan – sama seperti Kpah Sherman.
Apakah semua gosip berkenaan perpindahan pemain serta jurulatih Terengganu ini benar?
Jika ianya benar, adakah pihak pengurusan sudah melakukan persediaan untuk membawa masuk pemain yang terbaik untuk beraksi di pentas Piala AFC musim hadapan?