Bercakap kepada The Star, pengendali Perak, Mehmed Durakovic mahukan pihak pengurusan mempercepatkan proses penawaran kontrak baharu kepada enam pemain utama terlebih dahulu.
Ini bagi membolehkan segala perancangan musim hadapan boleh berjalan lebih cepat dan mungkin dapat mengekalkan kesemua pemain-pemain lain, disebabkan pengaruh enam pemain itu.
“Saya akan bercakap dengan Presiden (Datuk Seri Faizal Azumu) dan pengurus pasukan (Datuk Adly Shah Ahmad Tah) untuk mempercepatkan pembaharuan kontrak mereka,” ujarnya.
“Enam pemain (Shahrul Saad, J. Partiban, Nazirul Naim, Shahrel Fikri, Hafizul Hakim dan Brendan Gan) merupakan tonggak skuad kebangsaan ketika ini dan adalah pemain utama kami,” jelas Mehmed Durakovic yang kontraknya akan berakhir tahun depan.
Pengendali berpengalaman berusia 53 tahun itu mahu membina semula skuad dengan gandingan pemain-pemain yang sama disamping beberapa pemain muda daripada skuad Piala Presiden dan percaya musim depan, Perak akan kembali mencabar.
“Saya berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan mereka sepanjang musim ini. Kita perlu ‘ikat’ mereka segera, saya mahu mereka kekal di sini [musim depan]. Kita boleh bina daripada apa yang ada sekarang untuk musim akan datang yang lebih baik.
“Pemain-pemain skuad Piala Presiden telah beraksi hingga ke final dan ada beberapa pemain yang bagus di sana,” tambahnya lagi.
Begitupun, Mehmed Durakovic perlu bersabar kerana dipercayai beberapa pemain telah bersemuka dengan pihak pengurusan untuk membincangkan masa depan mereka selepas ini dan ada juga pemain yang telah cuba dipancing pasukan-pasukan lain.
Mengulas mengenainya, beliau berkata itu hak mereka sebagai pemain untuk menentukan masa depan masing-masing.
“Terpulang kepada mereka untuk tentukan masa depan mereka. Saya telah luahkan apa yang sepatutnya saya katakan,” ujar pengendali kelahiran Australia itu lagi mengenainya.
Musim 2018, Perak cemerlang dengan berakhir di kedudukan ke-2 Liga Super dan menjulang Piala Malaysia selepas 18 tahun menanti dan musim 2019, The Bos Gaurus mengakhiri musim tanpa sebarang kejuaraan – sekadar menamatkan liga di kedudukan kelima, finalis Piala FA dan tersingkir di suku akhir Piala Malaysia.
Kredit Featured Image: Perak TBG