Roziemie Shazree kali ini mengajak kita merasai bahang awal derbi utara yang akan berlangsung pada malam ini.
Derbi Utara, Pulau Pinang vs Kedah
Nun jauh di Eropah sana, Merseyside Derby, Manchester Derby menjadi bualan hangat di Kota Inggeris. Di Sepanyol pula The El Derbi Madrileño menjadi siulan penduduk setempat.
Warga Itali juga tidak terlepas dengan kerancakkan perlawanan Derby della Madonnina.
Di Malaysia apa kurangnya. Liga tempatan kita juga menarik. Pertembungan Derbi Utara (Northern Derby) diantara dua pasukan jiran tanah air iaitu Pulau Pinang dan Kedah yang sering “mengasah kuku” masing-masing.
Semestinya derbi ini akan menjadi tumpuan peminat bolasepak di seluruh Malaysia.
Larva semakin panas
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, inilah derbi yang paling panas dalam kalendar bolasepak Malaysia. Pertembungan kedua-dua pasukan utara ini sangat menarik untuk disaksikan.
Bila sahaja tibanya tarikh perlawanan derbi ini, penyokong kedua-dua pihak tidak sabar menantikan tiupan wisel permulaan perlawanan. Ianya dapat dilihat akan suasana kemeriahan “perang saudara” bolasepak negeri berjiran ini.
Dimana akan timbulnya satu fenomena semangat “lain macam” dalam jiwa kedua-dua penyokong setiap pasukan.
Semangat setiap individu akan mula berkobar-kobar untuk memberi sokongan pada negeri tercinta menjadikan perlawanan ini lebih sentimental.
Mana tidaknya, mahu membuktikan siapa “SANG JAGUH UTARA”. Mahu berdiri teguh dibelakang pasukan sambil mengibarkan bendera negeri masing-masing dengan gahnya.
Ketepikan isu pretasi semasa dan kedudukan pasukan, yang penting perlawanan bermaruah ini, pasukan yang disokong itu harus menang. Kemenangan harus dicapai, hanya kerana mahu mempertahankan maruah negeri supaya ianya tercalar.
Malam ini siapa menang, dialah penguasa Utara selepas malam ini sehinggalah sehinggalah liga berakhir.
Imbas kembali
Perlawanan derbi pusingan pertama Liga Super pada 25 Febuari lalu di Stadium Darul Aman.
Kemarau Kedah untuk menewaskan Pulau Pinang di tempat sendiri akhirnya terhenti juga setelah pasukan itu berjaya memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan jaringan 3-1.
Malam ini akan berlangsungnya pertemuan pusingan kedua Liga Super buat kedua-dua pasukan ini. Kali ini, Pulau Pinang pula akan melayan kunjungan Kedah di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Prestasi semasa
5 perlawanan terakhir, Pulau Pinang hanya menang 1 perlawanan. Manakala pasukan Kedah pula menang 3 daripada 5 perlawanan terakhir.
Kemenangan Pulau Pinang ke atas Melaka dalam perlawanan terakhir Liga Super mereka sebelum ini adalah yang pertama selepas 7 perlawanan.
Kedah masih belum mencatatkan kemenangan dalam 2 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.
Rekod pertemuan
24 perlawanan di antara kedua-dua pasukan sejak 2004. 13 daripadanya dimenangi Kedah dan 5 dimenangi Pulau Pinang. 6 lagi berakhir dengan seri.
Dalam 6 perlawanan terakhir mereka, 4 daripadanya seri, manakala masing-masing menang 1 perlawanan.
Sebelum wisel
Adakah Pulau Pinang akan mengulangi kemenangan tahun lepas di Bandaraya dengan mengubati kekecewaan mereka selepas tewas di Darul Aman pada Febuari lepas ?
Dan adakah Kedah mampu mencipta kemenangan pertama mereka di laman Harimau Kumbang sejak kali terakhir ianya berjaya dilakukan pada tahun 2010 ? Sama-sama kita nantikan!
Segalanya akan terjawab malam ini, detik di mana Kedah dan Pulau Pinang ‘putus suadara’, dan ‘putus sahabat’ untuk 90 minit.
Semoga perlawanan malam ini panas di atas faktor kesukanan dan bukannya kerana insiden yang tidak diingini. Pulau Pinang vs Kedah! Kami sudah bersedia!
Nota Editor: Artikel ini adalah sumbangan Rozimie Shazree yang merupakan penyokong setia Pulau Pinang. Ikuti facebook beliau untuk lebih banyak kupasan bola sepak Pulau Pinang.