Agak menyedihkan sebenarnya apa yang politik boleh lakukan kepada kawan sesama kawan. Inilah yang berlaku pada Everton FC.
Pada awalnya, Anfield merupakan rumah Everton. Tetapi pada tahun 1892, pengerusi Everton, John Houlding mula berselisih pendapat dengan majoriti ahli lembaga pengarah kelabnya atas dua isu.
1. Sewa Anfield
2. Penjualan arak
Dari padang awam ke Anfield
Pada 1882, Everton diarahkan oleh jawatankuasa Football League untuk mencari padang tertutup sebagai padang mereka sendiri.
Ini kerana Everton hanya menggunakan padang awam di Stanley Park sebagai padang mereka.
Pengerusi Everton, John Houlding (gambar bawah), mengatur satu pertemuan dengan ahli lembaga pengarah kelabnya untuk mencari padang baru.
Di akhir pertemuan, mereka bersetuju untuk menyewa padang berhampiran Priory Road.
Baru setahun menyewa, pemilik padang di Priory Road tersebut menyuruh Everton mencari padang lain.
Beliau mahu menjual tanah padang tersebut untuk satu projek perumahan.
Sekali lagi John Houlding terpaksa mencari padang baru untuk Everton.
Tetapi dengan bantuan kawannya, John Orrell, Houlding berjaya mendapatkan tanah baru untuk dibuat menjadi padang baru Everton. Padang baru tersebut dibina di Anfield Road.
Dengan bantuan Houlding, Everton hanya perlu membayar sedikit sewa tanah kepada John Orrell untuk membangunkan Anfield Stadium.
Houlding membeli tanah Anfield
Setahun kemudian pada 1885, Houlding membeli tanah di Anfield Stadium terus daripada Orrell.
Ini bermakna sewa yang dibayar oleh Everton akan terus masuk ke poket Houlding, pengerusi kelab mereka sendiri.
Apabila Everton muncul juara Football League pada musim 1890/1891, Houlding menaikkan sewa tahunan Anfield sebanyak 150% kepada £250.
Ini membuatkan ahli lembaga pengarah Everton menjadi marah.
Houlding dan Everton berpisah
Tak cukup dengan itu, kawan Houlding – John Orrell – yang masih mempunyai tanah di sebelah Anfield Stadium mahu membina jalan raya merentasi kawasan tempat duduk penonton di Anfield.
Satu-satunya cara bagi Everton untuk menghentikan projek Orrell adalah dengan:
1. membayar £370 setahun untuk terus menyewa Anfield daripada Houlding dan menghentikan projek jalan raya di tanah Orrell.
2. membeli terus Anfield daripada Houlding dan tanah sebelahnya daripada Orrell.
Everton melihat syarat Houlding dan Orrell sebagai terlalu mahal. Bagi ahli lembaga pengarah Everton, tindakan kapitalisme Houlding membuktikan beliau tidak sayangkan kelab pimpinannya sendiri.
Bagi mereka, Houlding hanya mahu jadi kaya. Houlding tidak kisahkan tentang bola sepak pun.
Akhirnya pada Januari 1892, 279 staf dan ahli lembaga pengarah Everton (kecuali Houlding) mengambil keputusan untuk meninggalkan Anfield dan mencari padang baru.
Pada hujung tahun 1892, Everton berpindah ke Goodison Park.
Melihat Anfield yang kosong, Houlding menubuhkan sebuah kelab bola sepak baru.
Pada mulanya Houlding menamakan kelab barunya ‘Everton Athletic’.
Tetapi apabila jawatankuasa FA menolak nama baru tersebut, barulah Houlding menamakan kelab barunya sebagai Liverpool FC.
Temperance movement: gerakan sosial menghadkan arak
Ketika memimpin Everton, John Houlding adalah ahli Conservative Party dan pemilik kilang arak.
Sedangkan pada masa yang sama, majoriti ahli lembaga pengarah Everton merupakan penyokong kuat Liberal Party.
Pada 1884, National Temperance Federation ditubuhkan oleh ahli-ahli Liberal Party untuk mempromosikan gaya hidup tanpa alkohol.
Perbezaan ideologi politik antara Conservative Party dan Liberal Party membuatkan hubungan antara John Houlding dengan ahli lembaga pengarahnya sedikit panas.
Ia bukanlah punca utama Everton meninggalkan John Houlding. Tetapi cukup untuk memberi lebih banyak sebab kepada ahli lembaga pengarah Everton untuk terus membenci Houlding.
The friendliest derby
Walaupun sejarah dua kelab ini mempunyai episode pahit, derbi Merseyside adalah antara the friendliest derby dalam dunia bola sepak. Masih ada seksyen tempat duduk di mana penyokong Everton dan Liverpool duduk bersama.
Adalah sesuatu yang normal dalam sesebuah keluarga Scousers untuk mempunyai penyokong Everton dan Liverpool dalam satu rumah.
Dalam autobiografinya (Gerrard: My Autobiography), Steven Gerrard mendedahkan usaha bersungguh-sungguh pakciknya untuk memujuk beliau masuk ke akademi Everton.
Bapa Gerrard (penyokong Liverpool) sendiri tidak kisah jika beliau memilih akademi Everton kerana menurut Gerrad: “My father would still drive me to Finch Farm every day to support me”.
Tragedi Heysel
Apabila tragedi Stadium Heysel berlaku pada 29 May 1985, semua kelab bola sepak England tidak dibenarkan oleh UEFA untuk bertanding dalam semua kejohanan Eropah.
Ini termasuklah Everton yang menjadi juara liga pada musim 1986/1987.
Akibatnya, Everton tak mendapat peluang untuk bermain di Eropah.
Penyokong Everton menyalahkan penyokong Liverpool atas apa yang berlaku ketika tragedi Stadium Heysel, tetapi ketika tragedi Hillsborough berlaku pada 1989, mereka kembali bersatu.
Boikot The Sun
Apabila akhbar tabloid The Sun menyalahkan penyokong Liverpool ketika tragedi Hillsborough, seluruh Merseyside termasuk penyokong Everton memboikot The Sun.
Boikot tersebut masih berlangsung sehingga kini.
Bahkan sebuah lagu yang bertajuk ‘He Ain’t Heavy, He’s My Brother’ nyanyian band The Hollies menjadi lagu pengiring penghormatan Everton kepada 96 penyokong Liverpool yang terkorban dalam tragedi Hillsborough.
Kesimpulan
Media mungkin mahu mengapi-apikan derbi Merseyside dengan mendedahkan jumlah kad merah yang dilayangkan pengadil ketika perlawanan ini.
Perlawanan ini juga dianggap derbi paling kotor kerana mengumpul kad merah paling banyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Tetapi hakikatnya, penyokong dan pemain mereka hanya bertempur di atas padang selama 90 minit. Pertalian persaudaraan dan jiwa scouser mereka tetap kuat dan bersatu pada bila-bila masa untuk apa jua selain daripada bola sepak.
Di luar stadium selepas perlawanan, adalah satu pemandangan biasa untuk melihat baju merah dan biru bergaul mesra di pub sambil menikmati minuman.