10 Pasukan Yang MESTI Anda Urus Dalam Football Manager 2016

Setiap pemain Football Manager 2016 tidak sama.

Ada yang suka mengurus pasukan besar terus. Ada yang suka bermula tanpa lesen dan menganggur dahulu. Ada yang suka bermula daripada kelab paling kecil dalam liga terbawah.

Dan ada yang merujuk realiti sebenar bola sepak dunia untuk menentukan pasukan yang akan diurus dalam Football Manager.

Dengan Football Manager 2016 yang bakal muncul di pasaran bermula 13 November akan datang, kami melihat 10 pasukan yang anda MESTI urus. Berdasarkan realiti sebenar bola sepak dunia, setiap 10 pasukan ini mempunyai cabarannya tersendiri.

10 pasukan, 10 cerita dan 10 cabaran yang berbeza. Mari kita mulakan.

10. AFC Bournemouth

Boleh kata hampir semua peminat tegar siri Football Manager sudah mempunyai idea apa yang mereka akan lakukan jika mereka berada di tempat Eddie Howe.

AFC Bournemouth atau The Cherries hampir tersingkir ke Vanarama Conference (liga ke-5 England) pada musim 2008/2009 apabila terpaksa memulakan kempen Football League 2 (liga ke-4 England) dengan -17 mata kerana masalah kewangan.

7 tahun kemudian, Bournemouth naik ke Liga Perdana Inggeris. Di bawah kendalian Eddi Howe, Bournemouth mencapainya dengan falsafah bola sepak menyerang yang menghiburkan.

Cabaran utama anda di Bournemouth adalah untuk kekal dalam liga teratas England.

Untuk membuatkan tugas anda bertambah sukar, anda akan memulakan musim pertama anda dalam liga tanpa 4 pemain utama: Callum Wilson (ST), Harry Arter (CM), Max Gradel (LAM) dan Tyrone Mings (LB).

9. Carpi F.C. 1909

Carpi FC adalah kelab kecil dari Modena. Seperti Bournemouth, tahun ini adalah kali pertama Carpi bermain dalam Serie A.

Dan seperti Bournemouth, Carpi atau Biancorossi bermula dari Eccellenza Emilia–Romagna (liga ke-5 Itali) sebelum naik ke Serie D (liga ke-4 Itali) pada 2002.

6 tahun lepas, Carpi masih bermain dalam Lega Pro Seconda Divisione (liga ke-3 Itali). Jadi apabila Carpi menjadi juara Serie B dan naik ke Serie A, semua orang tertanya-tanya; bagaimana mereka melakukannya?

Carpi bukan sahaja menjadi juara Serie B. Malah mengutip 80 mata daripada 42 perlawanan. Mereka mendahului pasukan tangga ke-2 liga, Frosinone, dengan jurang 9 mata.

Cabaran utama anda sebagai pengurus Carpi adalah untuk bermain home matches di stadium pasukan Serie B, Modena FC. Iaitu Stadio Alberto Braglia. Ini kerana stadium mereka, Stadio Sandro Cabassi, tidak menepati syarat minimum Serie A.

Jika kelab anda tidak mempunyai duit untuk upgrade stadium, anda boleh agak saiz bajet transfer dan gaji pasukan anda.

Ketika ini, Carpi berada di tangga terbawah Serie A dengan hanya 2 seri dan 4 kalah. Persoalannya mampukah anda melakukan kerja yang lebih baik daripada pengurus sebenar Carpi?

8. HNK Rijeka

Dalam sejarah bola sepak Croatia, HNK Rijeka belum pernah menang liga domestik. Mereka pernah muncul juara Piala Croatia 3 kali, tetapi itu sahaja.

Walaupun Rijeka sentiasa dibayangi kejayaan GNK Dinamo Zagreb, Rijeka masih sebuah pasukan yang kompetitif. Apatah lagi selepas Rijeka dibeli oleh jutawan Itali, Gabriele Volpi, sejak 2 tahun lepas.

Dengan kewangan yang kukuh, anda berpeluang untuk bersaing secara kompetitif dalam UEFA Europa League. Jika anda menjadi juara liga, anda boleh membawa Rijeka masuk ke UEFA Champions League buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Jadi cabaran anda adalah: tewaskan GNK Dinamo Zagreb dan jadi juara liga buat pertama kali dalam sejarah kelab. Anda sudah mempunyai sugar daddy. Apa lagi anda mahu?

7. Sevilla FC

Ini antara cabaran yang sukar. Status anda sebagai juara bertahan UEFA Europa League akan membuatkan anda pasukan untuk dikalahkan dalam UEFA Champions League, La Liga dan Copa del Rey.

Dalam La Liga, anda mempunyai sekurang-kurangnya 8 perlawanan maut setiap musim. Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid akan menguji jika anda mempunyai kebolehan untuk menukar status Sevilla sebagai pencabar liga.

Jangan lupa Valencia juga sudah kaya dan galak memperkuatkan pasukan mereka. Villareal dan Celta Vigo juga akan mencabar anda.

Anda juga perlu menentang Barcelona dalam UEFA Super Cup.

Berita baiknya, anda mempunyai Adil Rami, Jose Antonio Reyes, Ciro Immobile, Gael Kakuta, Ever Banega, Yevhen Konoplyanka, Coke dan Fernando Llorente untuk membantu anda.

6. A.C. Milan atau F.C. Internazionale

Bercakap mengenai gergasi yang tidur, dua kelab Itali ini adalah pilihan yang jelas. Kedua-dua kelab ini sedang berada dalam bayang-bayang kegemilangan lepas mereka.

Bukan sahaja kedua-dua kelab ini sudah lama tak menang apa-apa kejuaraan domestik, mereka juga tak layak ke mana-mana kejohanan Eropah pada musim ini.

Susah untuk percaya 2 kelab ini pernah mengumpul keseluruhan 36 kejuaraan scudetto dan 10 kejuaraan Champions League!

Tugas anda adalah untuk membawa kejuaraan Serie A ke bandar Milan dan layak ke Eropah. Cabaran ini boleh dianggap sukar kerana Juventus, AS Roma, Lazio, Napoli dan Fiorentina dianggap lebih kuat daripada 2 kelab Milan ini.

Oh jika anda mengurus AC Milan, mampukah anda memenuhi potensi Mario Balotelli?

5. Nottingham Forest F.C.

Adalah menjadi tugas suci setiap pemain Football Manager untuk membawa Nottingham Forest ke era kegemilangan Eropah mereka pada lewat 70-an.

Ketika pengurus lagenda, Brian Clough mengurus Forest, mereka pernah menjadi juara liga, menang dan mempertahankan European Cup dan juara League Cups 4 kali.

Cabaran anda adalah untuk mengulangi era kegemilangan Forest ketika di bawah kendalian Brian Clough. Jika anda benar-benar hebat, mengatasi pencapaian Clough.

4. AEK Athens

Pada musim 2012/2013, AEK Athens tersingkir ke liga ke-2 Greece. Pada 7 Jun 2013, AEK mengambil tindakan drastik untuk mengumumkan status bankrap dan memohon untuk menjadi kelab amatur dalam liga ke-3 Greece secara sukarela.

AEK memulakan era baru dalam liga ke-3 Greece dengan cemerlang dan akhirnya dinaikkan ke liga ke-2 Greece. Pada musim lepas, AEK menjadi juara liga ke-2 Greece dan dinaikkan ke Super League (liga utama Greece).

Walaupun ketika zaman amaturnya, AEK masih mengekalkan majoriti penyokongnya. Di Greece, kumpulan penyokong AEK adalah yang ke-3 terbesar selepas Olympiakos dan Panathinaikos.

Di bawah pimpinan Dimitris Melissanidis, AEK sentiasa mempunyai kewangan yang kukuh. Sehinggakan ketika AEK masih bermain dalam liga ke-2 Greece, mereka masih mampu menarik pemain kebangsaan Greece seperti Petros Mantalos, Adam Tzanetopoulos dan Michalis Bakakis untuk bermain.

AEK juga mempunyai bekas wonderkid Argentina, Diego Buonanotte dalam skuad!

Ketika ini, AEK dalam proses membina stadium baru. Tugas anda di AEK adalah mencabar kejuaraan liga dengan Olympiakos, PAOK dan Panathinaikos.

Di sini, anda berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah AEK yang baru.

3. Olympique de Marseille

Dalam dunia realiti ketika ini pun, Marseille sedang mencari pengurus baru.

Selepas Marcelo Bielsa meletakkan jawatan secara mengejut, Marseille kini diurus oleh Franck Passi buat sementara.

Meskipun kali terakhir Marseille memenangi piala adalah 3 tahun lepas, Marseille masih merupakan antara kelab terbesar di Perancis. Buktinya penyokong mereka tidak pernah gagal mengisi 67,000 kerusi di Stade Vélodrome pada setiap perlawanan.

Di bawah kendalian Bielsa, Marseille membuktikan mereka mempunyai pemain yang boleh bermain mengikut falsafah bola sepak menyerang yang menghiburkan. Mereka menduduki tangga ke-4 liga dan layak ke UEFA Europa League.

Cuma penjualan pemain bintang seperti André-Pierre Gignac, André Ayew, Florian Thauvin, Giannelli Imbula, Dimitri Payet dan Jérémy Morel akan menyukarkan kerja anda.

Cabaran anda adalah – penuhi potensi Marseille dan atasi pencapaian Marcelo Bielsa.

2. Hamburger SV

Hamburg adalah kelab pertengahan liga yang sedang mengalami penurunan. Musim lepas, Hamburg terpaksa bertarung dalam play-off untuk mengelak penyingkiran ke liga ke-2 Jerman.

Dengan bajet yang kecil, skuad anda dianggotai oleh pemain-pemain yang bergelut untuk memenuhi potensi bakat mereka ketika muda. Antaranya adalah Lewis Holtby, Albin Ekdal dan Pierre-Michel Lasogga.

Tugas anda di Hamburg adalah membina skuad yang memaksimumkan potensi 3 pemain ini. Dan perbaiki status Hamburg yang ketika ini dikenali sebagai kelab bawahan.

1. S.S.D. Parma Calcio 1913

…atau dipanggil Parma.

Sejak bankrap dan diturunkan ke Serie D, Parma kembali menjadi kelab bola sepak amatur.

Pernah menjadi kelab kuda hitam dalam bola sepak Itali, Parma juga pernah menarik pemain-pemain bertaraf dunia seperti Hernan Crespo, Fabio Cannavaro, Gianluigi Buffon dan Gianfranco Zola ke dalam pasukan mereka.

Kini Parma mempunyai kurang 10 staf. Mereka terpaksa membayar sewa untuk menggunakan stadium dan padang latihan sendiri.

Projek Parma ini adalah projek jangka masa panjang. Cabaran utama anda di Parma adalah menstabilkan kewangan dan membayar hutang kelab.

Dalam pada masa yang sama, anda hanya boleh menggunakan pemain amatur dalam Serie D. Ini kerana bajet gaji maksimum dalam Serie D adalah €20,000 sahaja.

Baca juga: 7 SEBAB FOOTBALL MANAGER 2016 LEBIH HEBAT DARIPADA FM15

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN