Seorang pemain mencatat hatrik mungkin perkara biasa dalam perlawanan bola sepak. Tetapi dua pemain berbeza melakukan perkara tersebut adalah satu situasi yang cukup istimewa.
Ia adalah malam yang cukup sempurna buat Manchester City selepas membelasah jiran setempat Manchester United 6-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Aksi yang berlangsung di Stadium Etihad tersebut menyaksikan Erling Haaland dan Phil Foden masing-masing menyumbang tiga gol peribadi untuk mengekalkan penguasaan City dalam Derbi Manchester.
Sejak mula perlawanan lagi The Citizen selesa mendominasi penguasaan bola dan membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi Foden sebelum Haaland menyumbat dua gol pantas pada minit ke-34 dan ke-37.
Foden kemudian meletakkan City selesa dengan kedudukan 4-0 sebelum rehat dan penyokong United kelihatan mula meninggalkan stadium.
Pemain sayap Brazil, Antony dos Santos kemudian menghidupkan sisa pengharapan United dengan gol cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-56.
Namun lapan minit kemudian Haaland membuktikan beliau merupakan penyerang paling berbisa di dunia dengan hatrik ketiga berturut-turut di tempat sendiri sebelum Foden mengikut jejak rakan sepasukannya pada minit ke-72.
United berhasil mendapat dua gol tambahan menerusi pemain gantian Anthony Martial pada penghujung perlawanan, namun tiga mata kekal menjadi milik hak mutlak City dalam aksi ini.