Tiket perlawanan yang terhad di antara Viettel FC dan Hanoi FC yang akan berlangsung pada malam ini menjadi laku keras dan dikatakan sudah habis terjual.
Menurut laporan The Thao, tiket perlawanan sepatutnya mulai dijual di kaunter mulai jam 9 pagi. Bagaimana pun ramai penyokong sudah pun mulai berbaris untuk mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut seawal 8 pagi.
Situasi tersebut berlaku disebabkan perlawanan tersebut dikatakan akan menjadi penampilan terakhir bintang Vietnam, Nguyen Quang Hai di V-League sebelum pemain itu berhijrah menyertai kelab di luar negara.
Penyokong Hanoi terutamanya pasti tidak mahu terlepas aksi tersebut sambil berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemain yang telah beraksi bersama mereka sejak bergelar pemain profesional.
Ia bukan perkara menghairankan penyokong Hanoi FC membanjiri Stadium Hang Day kerana Viettel juga adalah dari bandar yang sama dan kedua-dua kelab selama ini turut berkongsi stadium.
Namun untuk perlawanan yang akan berlangsung pada malam ini, Viettel adalah tuan rumah kepada pertemuaan yang digelar ‘derbi capital’ di Vietnam.
Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan sering menjadi tumpuan kerana kedua-duanya adalah kilang skuad kebangsaan Vietnam.
Situasi huru-hara
Situasi luar jangkaan sehingga menyebabkan Stadium Hang Day dibanjiri penyokong itu turut mencetuskan situasi huru-hara tidak kurang selama 10 minit, sebelum keadaan ditenangkan oleh pihak polis.
Peraturan sukan dan rekreasi di Vietnam yang masih ketat disebabkan keadaan wabak, juga bermakna penganjur hanya membenarkan 5,000 keping tiket untuk diedarkan.
Situasi tersebut menyebabkan penyokong menyerbu kaunter jualan tiket sehingga berlaku perebutan yang mencetuskan huru-hara.
Perlawanan terakhir Quang Hai
Nguyen Quang Hai adalah pemain utama yang menjadi kebangkitan bola sepak Vietnam di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo.
Baru-baru ini pemain itu dilaporkan akan meninggalkan Hanoi FC selepas rundingan kontrak baharu yang akan tamat pada 12 April hadapan gagal dipersetujui dengan pihak kelab.
#News| 🇻🇳Vietnamese star, Nguyen Quang Hai (1997) official leaves Hanoi FC after March 12.
On March 14, Quang Hai and Hanoi FC had the final negotiation on the contract extension. But the negotiations have broken down because Quang Hai wants to challenge abroad.#VLeague pic.twitter.com/RNT0PczRnr
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) March 15, 2022
Kelantangan pemain itu yang menyatakan hasrat untuk mencari pengalaman baharu di luar negara juga memberi indikasi beliau sudah bersedia untuk meninggalkan V-League.
Quang Hai dijangka tidak akan mengalami masalah mencari kelab baharu di luar negara dan dikatakan telah menarik minat kelab-kelab dari Thailand, Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.