Denda Tak Masuk Akal, MIFA Mungkin Tarik Diri Daripada Liga Malaysia

Laporan daripada akhbar tempatan, Berita Harian mendedahkan pasukan Liga Perdana, MIFA mengancam akan menarik diri daripada saingan Liga Perdana kerana tidak berpuas hati dengan hukuman denda RM500, 000 yang dikenakan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Menurut laporan itu, MIFA lebih rela mengundur diri dari Liga Perdana daripada membayar denda yang disifatkan tidak masuk akal kerana kesalahan mereka terlewat menghantar dokumen pendaftaran pasukan.

Presiden MIFA, Datuk T Mohan berkata hukuman denda RM500,000 dianggap sebagai tidak munasabah dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Jika mereka mahu mengenakan denda seperti ini, tidak guna kami membentuk sebuah pasukan.

“Kami bukannya mahu meraih keuntungan tetapi membangunkan bola sepak dalam komuniti ini dan melahirkan pemain untuk negara.

“Memandangkan kami bukan kelab yang menjana banyak wang, adalah lebih baik kami mengundur diri jika mereka mahu mendenda kami sebanyak ini,” katanya.

Jumlah Denda yang dikenakan oleh FMLLP.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana lembaga FMLLP boleh memutuskan denda sebanyak itu memandangkan ia tidak terkandung dalam peraturan atau undang-undang Liga Malaysia.

“Jumlah itu tidak munasabah, RM500,000 tidak masuk akal.

“Tidak dinyatakan dalam peraturan berapa denda yang dikenakan untuk setiap kesalahan.

“Tiba-tiba saja mereka mengumumkannya selepas mesyuarat lembaga. Saya rasa ia tidak munasabah bukan saja buat kami tetapi kebanyakan pasukan yang sukar menjana kewangan.”

“Sekurang-kurangnya jika mereka memberi kami geran sebanyak RM5 juta, denda tidak menjadi masalah tetapi sehingga kini subsidi RM1 juta yang diumumkan masih belum diberi dan kami berhempas pulas mendapatkan dana. Jadi bagaimana kami hendak membayar denda itu?,” soalnya.

Difahamkan MIFA akan membuat rayuan kepada FMLLP supaya hukuman itu dapat dikurangkan.

“Kami berharap mereka akan mempertimbangkan rayuan kami kerana ia tidak adil. Kami pasukan yang baru dan masih belajar mengenai peraturan jadi kesilapan pasti berlaku.” jelasnya.

Hukuman pemotongan mata oleh FMLLP.

Semalam FMLLP mengumumkan 4 pasukan Liga Super didenda RM1.5 juta manakala 6 pasukan Liga Perdana didenda RM500,000 kerana lewat menghantar dokumen pendaftaran atau menghantar dokumen yang tidak lengkap.

Walaubagaimanapun, 10 pasukan ini menarik nafas lega kerana pemotongan mata ditangguhkan apabila FMLLP memberi tempoh selama 14 hari untuk melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN