Kezaliman regim Zionis Israel terhadap Palestin tidak perlu dihurai panjang. Ianya dilaporkan setiap hari oleh pelbagai agensi media dan perkongsian video-video di Internet.
Kematian demi kematian penduduk di Gaza berlaku hampir setiap minit dan lebih menyayat hati golongan kanak-kanak yang tidak berdosa tidak terkecuali daripada menjadi mangsa serangan.
Sokongan Malaysia kepada Palestin begitu jelas. Bermula dari sekecil-kecil peranan oleh warga marhaen, sehinggalah seluruh pimpinan negara ini melahirkan solidariti tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan negara timur tengah itu dalam menuntut hak mereka.
Mana dia demokrasi? Mana dia hak asasi? Mana dia hak kemanusiaan? Saya tempik laungan solidariti sewaktu menghadiri “Himpunan Malaysia Bersama Palestin” bersama ribuan masyarakat di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Sayugia, himpunan ini merupakan salah satu… pic.twitter.com/jhEswJb4v8
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) October 24, 2023
Jika satu masa dahulu hipokrasi media barat dengan mudah dapat meracun atau menguasai pemikiran masyarakat dunia dengan laporan-laporan yang bersifat berat sebelah, dengan perkembangan dunia teknologi pada hari ini, ia tidak lagi berlaku.
Kini tanpa mengira agama, bangsa dan warganegara, orang ramai sudah mula mendapat kesedaran bahawa mereka selama ini telah ‘dibutakan’ oleh media-media arus perdana yang bijak menyembunyikan kezaliman Israel.
Himpunan demi himpunan dianjurkan di seluruh dunia. Di Amerika dan di Eropah, masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama tekad melaungkan sokongan terhadap Palestin dan mula memberi tekanan terhadap kerajaan negara mereka yang memilih untuk menyebelahi regim Zionis Israel.
FIFA Hipokrit?
Sering kita dimomokkan dengan satu fahaman yang kononnya sukan sewajarnya terus berada di luar garisan politik. Tetapi lihat sahaja apa yang berlaku kepada Rusia angkara ‘pencorobohan’ negara itu ke atas Ukraine.
Di mana sebenarnya ‘prinsip’ bahawa sukan itu tidak boleh dicampur aduk dengan politik, sedangkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) telah menggantung Rusia daripada menyertai semua pertandingan atas alasan solidariti terhadap Ukraine.
FIFA and UEFA have banned Russian national and club teams from their competitions "until further notice" amid an ongoing war between Russia and Ukraine https://t.co/8L1nMLXI9P pic.twitter.com/c84EX8UD7p
— Bloomberg Originals (@bbgoriginals) March 1, 2022
Bukan setakat itu sahaja, badan-badan sukan lagi juga termasuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah mengambil tindakan sama dengan menjadikan Rusia sebagai ‘persona non grata’ dalam sukan dunia yang memangsakan atlet-atlet mereka.
Oleh yang demikian, tekanan seharusnya diberikan kepada FIFA untuk mengambil tindakan yang sama ke atas Israel. Apatah lagi negara kita mempunyai wakil di dalam badan induk bola sepak dunia itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin baru sahaja dinamakan sebagai Ahli Majlis FIFA dalam Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diadakan pada Mac lalu di Manama, Bahrain.
FIFA has imposed sanctions on players who stood in solidarity with #Palestine and Gaza saying politics has no place in the world of football but now Russia has banned and allowed all teams in the world to wear Ukrainian flags Contradiction+Hypocris #Ukraine #Russian pic.twitter.com/hufBgpVJK9
— MŌĦĀMĀƉ ƵȲĀƉⓂ (@hm__hm21) September 26, 2022
Setiap jawatan itu hadir dengan tanggungjawab. Bukan hanya tanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak, tetapi juga tanggungjawab kemanusiaan kerana FIFA sendiri sering melaungkan mesej-mesej keamanan dalam slogan-slogan ciptaannya.
Maka mesej ini harus disampaikan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bahawa Israel dengan jelas telah melanggar segala kod etika keamanan yang bersangkutan dengan kezaliman, diskriminasi dan pencabulan hak asasi manusia.
Dunia sedang memerhati. Sejauh mana komitmen FIFA dalam menjadikan bola sepak sebagai ejen perpaduan dan keamanan. Atau mereka hanyalah ‘boneka’ berat yang tunduk kepada kezaliman dan kekejaman Israel.