Demba Ba ‘Sembur’ Pengadil Ke-4 UCL Kerana Perkataan Perkauman

Demba Ba Pengadil

Penyerang Istanbul Basaksehir, Demba Ba dengan berani berhadapan dengan pengadil perlawanan keempat Sebastian Coltescu yang mengeluarkan perkataan perkauman ketika perlawanan di antara pasukannya dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Selasa.

Ketika perlawanan baru berlangsung 13 minit, berlaku kekocohan di tempat duduk pemain simpanan dan pegawai pasukan sehingga menyebabkan penolong pengurus Basaksehir, Pierre Webo dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Romania Ovidiu Hatagen.

Namun keadaan menjadi ‘huru-hara’ apabila Webo menjerit-jerit ke arah Coltescu bertanya kenapa menggunakan perkataan perkauman dengan memanggilnya ‘lelaki hitam’. Dengan ketiadaan penyokong di stadium, suara setiap individu dapat didengari dengan jelas.

https://twitter.com/erdiiidemir/status/1336418294530715648?s=20

“Kenapa kamu kata ‘negr*’? Kenapa kamu kata ‘negr*’?” ulang Webo berkali-kali dengan nada berang.

Ekoran kejadian tersebut, semua pemain dan pegawai bagi kedua-dua pasukan berkumpul di tepi padang untuk mendapatkan penjelasan pengadil sama ada pembantunya benar-benar menyebut perkataan tersebut.

Demba yang tidak diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama kemudian meluru ke arah Coltescu yang ‘menyemburnya’ sebagai seorang yang biadab dan rasis.

“Kau dengar sini! Bila kau panggil orang berkulit putih, kamu tak pernah panggilnya ‘orang putih ini’, kamu akan kata ‘orang ini’. Tetapi bila kamu panggil orang berkulit hitam, kenapa perlu panggil ‘orang hitam ini’?” kata pemain berusia 35 tahun itu.

Coltesu kemudian cuba untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan bahawa perkataan ‘negr*’ dalam bahasa dan budaya negaranya tidak bermaksud perkauman.

“Negr* maksudnya hitam, kamu tahu? Jadi saya maksudkan pemain hitam, pemain hitam. Memang saya sebut, saya sebut.”

Tidak lama selepas itu, pemain-pemain Basaksehir dan PSG berjalan keluar dari padang dan menuju ke bilik persalinan masing-masing. Pemain pertahanan PSG, Presnel Kimpembe mengatakan semua pemain tidak akan terima Coltesu sebagai salah seorang pegawai dalam perlawanan tersebut.

Sekalipun diminta untuk kembali menyambung perlawanan, pihak Basaksehir menegaskan mereka telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya dan perlawanan telah ditangguh kepada hari Rabu.

Pihak UEFA dalam kenyataannya mengatakan mereka akan menjalankan siasatan berkenaan kejadian tersebut dan memutuskan untuk menggantung Coltescu dengan serta merta.

“Perkauman dan diskriminasi tiada tempat dalam bola sepak,” ujar badan bola sepak Eropah tersebut.

Tidak terkecuali memberi komen mengenai isu tersebut adalah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mahukan pihak UEFA mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Tanpa syarat, kami menentang perkauman dan diskriminasi bukan hanya dalam sukan, tetapi setiap sudut dalam kehidupan,” ciapnya dalam Twitter.

Ba yang pernah beraksi untuk Chelsea merupakan seorang pemain bola sepak yang konsisten memperjuangkan isu kemanusiaan dan pernah mempersoalkan kenapa EPL hanya memperjuangkan isu ‘Black Lives Matter’ tetapi tidak etnik Muslim Uyghur yang ditindas di China.

Kejadian tersebut boleh ditonton di sini:

Kredit Foto: Optus Sports

Baca juga artikel kami yang lain mengenai isu perkauman dalam bola sepak:

Demba Ba: Kenapa Sokong ‘Black Lives Matter’ Tapi Diamkan Tindakan China Menindas Uighur?

Cavani Mungkin Dingantung Tiga Perlawanan Kerana Perkataan Perkauman

Insiden Perkauman Cemari Aksi Spurs vs Chelsea

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN