Bekas pemain Real Madrid sekitar tahun 1995 hingga 1997, Dejan Petkovic memberikan nasihat kepada penyerang muda, Luka Jovic bahawa tiada yang mudah apabila berada bersama kelab tersebut.
Penyerang berusia 21 tahun dari Serbia itu menandatangani kontrak selama enam tahun untuk bersama Real Madrid pada 4 Jun lalu.
Bagi Petkovic yang mengalami karier sukar ketika bersama Los Blancos, beliau mengharapkan Real Madrid dapat memberikan masa buat rakan senegaranya itu untuk membuktikan kehebatan.
”Saya mengharapkan agar Luka (Jovic) berjaya, tetapi dia tidak akan begitu mudah berada di sana.”
”Dia merupakan seorang pemain yang sudah bersinar ketika di Eintracht dan saya mengharapkan dia akan cukup baik untuk menyarung jersi putih (Real Madrid). Ramai pemain hebat telah memakai jersi ini, sudah tentu.”
”Dia merupakan penyerang untuk masa hadapan, dengan kekuatan dan kepantasan, yang menawarkan perkara berbeza berbanding (Karim) Benzema dan saya mengharapkan mereka bersama dengannya.”
”Dia akan menikmati peluang tersebut, walaupun dia mungkin tidak banyak akan diletakkan sebagai pemain kesebelasan utama. Selepas itu, ia terpulang kepadanya (untuk membuktikannya).”
Luka Jovic hadir ke Santiago Bernabeu dengan reputasi selaku penjaring ketiga terbanyak Bundesliga 2018/19 dengan 17 gol.
Di pentas Eropah pula, Jovic menjadi penjaring kedua terbanyak bagi saingan LIga Europa dengan 10 gol. Hanya satu gol dibelakang Olivier Giroud.
Kredit foto: Eintracht Frankfurt