Setiap penyerang pastinya akan ada pertahanan yang mereka tidak gemar.
Hal ini kerana, dalam karier mereka pasti akan ada beberapa pertahanan yang sering memberikan kesukaran kepada mereka pada hari perlawanan.
Bagi penyerang utama Watford iaitu Troy Deeney, beliau jelas tidak gemarkan bermain dengan pertahanan Liverpool iaitu Virgil Van Dijk.
Menurut laporan Football London, Deeney mengatakan beliau sering menghadapi waktu-waktu sukar ketika berhadapan dengan pertahanan dari Belanda itu.
Hal ini kerana menurut Deeney, Van Dijk merupakan seorang pemain pertahanan yang terlalu bagus untuk dirinya setiap kali mereka bertemu.
“Sudah banyak kali saya katakan yang saya cukup benci berhadapan dengan Virgil Van Dijk.”
“Bagi saya, beliau terlalu kuat, terlalu pantas dan terlalu bagus ketika memegang bola.”
Selain daripada memuji kebolehan Van Dijk sebagai pemain bola sepak, Deeney turut memuji rambut yang dimiliki pertahan tersebut.
“Van Dijk merupakan seorang pemain yang gemar untuk bertarung ketika perlawanan dan beliau turut mempunyai rambut yang menarik.”
Sejak hadir ke Liverpool dari Southampton, Van Dijk telah menunjukkan kualiti beliau sebagai pertahanan terbaik kelab itu ketika ini.
Kehadiran beliau telah memperbaik pertahanan Liverpool yang sering goyah sebelum kehadiran beliau.
Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan Van Dijk sebagai antara pertahanan tengah yang terbaik dalam saingan Premier League ketika ini.