Tidak membawa sebarang bekalan ketika aksi di tempat sendiri tidak menggusarkan pemain tengah Terengganu, Dechi Marcel yang percaya mereka masih ada karakter positif untuk bangkit pada separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Malah, kemenangan 1-0 yang dicatat semasa bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada pentas Liga Super menjadi motivasi buat Marcel serta rakan seperjuangan lain yang mereka boleh mencipta kejayaan dan seterusnya meraih slot ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia.
Pada aksi separuh akhir pertama, Terengganu diikat 1-1 oleh JDT apabila gol awal yang dicipta Jordan Mintah pada minit kelapan dipadamkan oleh Bergson da Silva pada minit 50.
“Peluang sebenarnya masih terbuka kalau diikutkan cuma apa lebih mustahak kami kena dapatkan semula cara permainan seperti mana dalam perlawanan-perlawanan lain.”
“Kami kena bermain sebagai satu unit dan jangan dalam masa sama kena berfikiran positif kerana dalam bola sepak, segalanya mungkin.”
“Pada saingan Liga Super kami pernah menewaskan JDT di sana, jadi saat itu perlu diingati oleh setiap pemain kerana itu menjadi motivasi terbaik apabila turun berentap pada separuh akhir kedua.”
“Jika pemain sudah berasakan tidak yakin boleh menang, memang segalanya pasti menjadi lebih sukar semasa kita bermain nanti,” katanya.
Kemenangan 1-0 pada 24 April lalu menamatkan rekod tanpa kalah 21 perlawanan JDT yang juga kekalahan tunggal skuad Harimau Selatan sepanjang musim ini.
Justeru pemain yang berasal dari Ivory Coast ini berharap corak permainannya bersama seorang lagi tonggak tengah, Habib Haroon akan lebih bertenaga berbanding ketika dipamerkan semasa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
“Selaku pemain tengah, saya tidak menafikan penguasaan di bahagian saya cukup penting bagi memberikan ruang yang lebih baik dalam mencipta serangan.”
“Kami tidak ulangi apa terjadi semasa separuh masa kedua baru-baru ini dan sememangnya bukan mudah jika kita sudah kehilangan bola apabila berdepan lawan seperti JDT,” katanya.
Marcel telah beraksi di Liga Malaysia buat musim kelima selepas dua musim pertama di UiTM pada 2017 dan 2018 sebelum ke Terengganu II.
Selepas dua musim di Terengganu II, khidmat Marcel makin mencuri perhatian pengendali, Nafuzi Zain, yang banyak menggunakan khidmatnya bersama Terengganu.
“Saya rasa ini ialah detik terbaik sepanjang beraksi di Liga Malaysia sejak lima tahun yang lalu termasuk semasa dua musim pertama di UiTM.”
“Bersama Terengganu, ini seperti satu tanda aras yang lebih tinggi dalam karier dan saya harap mampu memberikan memori manis buat pasukan serta peminat pada saingan Piala Malaysia,” katanya