Analisis: Debut Untuk Ifwat Akmal, Zarif Irfan Atau Kekalkan Farizal Marlias Di Gawang?

Harimau Malaya, Penjaga Gol, Farizal Marlias

Skuad kebangsaan dijadualkan akan turun menentang Nepal pada Ahad ini sebagai persediaan untuk berdepan Timor Leste dalam pusingan 1 kelayakan Piala Dunia 2022, minggu hadapan.

Dan dengan Liga Malaysia dijadualkan akan berehat untuk hampir 3 minggu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah mengumumkan senarai 26 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula pada 27 Mei 2019.

Satu perubahan telah dibuat sebelum pemain-pemain tersebut melaporkan diri dengan kemasukkan penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin menggantikan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang dilaporkan telah mengalami kecederaan.

Kemasukkan Zarif Irfan yang masih ‘mentah’ dalam perlawanan antarabangsa ini meletakkan Farizal Marlias sebagai pilihan utama untuk beraksi di dua perlawanan pusingan kelayakan nanti.

Tetapi, berdepan Nepal nanti, perlukah Farizal Marlias diturunkan dalam kesebelasan utama atau mungkin Cheng Hoe sudah boleh berkira-kira memberikan debut kepada salah seorang penjaga golnya iaitu Ifwat Akmal Chek Kassim dan Zarif Irfan?

Farizal Marlias

Ini mungkin kali pertama Farizal Marlias disenaraikan bersama dua penjaga gol yang muda dari segi umur dan juga penampilan antarabangsa. Ini menjadikan beliau sebagai pilihan nombor 1 untuk menjadi benteng akhir Harimau Malaya.

Gambar: Zulfachri Zulkifli/Asiana

Liga Super telah berlangsung selama 15 minggu dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) ini telah beraksi dalam 14 perlawanan – hanya diketepikan dalam aksi menentang Felda United. Farizal Marlias telah merekodkan 5 cleansheet untuk 14 aksinya itu.

Penjaga gawang berusia 33 tahun ini pernah disisih untuk satu jangka masa yang panjang sebelum kembali ke skuad kebangsaan pada 28 Ogos 2018 – selepas kali terakhir beraksi pada Jun 2016.

Untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Farizal Marlias hanya membuat 3 penampilan namun ia satu pengalaman berharga buat dirinya disebabkan JDT berdepan dengan kelab-kelab jagoan Asia.

Farizal Marlias telah merekodkan 66% aksi menyelamat dengan 21 saves daripada 32 percubaan tepat ke atasnya. Ianya paling rendah antara ketiga-tiga penjaga gol yang tersenarai.

Begitupun, penjaga gol berpengalaman ini masih mencatatkan rekod bolos paling sedikit di kalangan mereka dengan hanya melepaskan 11 gol daripada 14 penampilan – ratio bolos 0.78.

Ifwat Akmal Chek Kassim

Berusia 22 tahun, Ifwat Akmal adalah penjaga gol muda paling menyerlah sejak beberapa musim ini. Mula menempatkan diri dalam skuad utama Kedah pada musim 2017, aksinya mendapat perhatian pengendali skuad kebangsaan ketika itu, Nelo Vingada.

Ifwat Akmal
FOTO: Thephotoshooterz/Salehuddin Arsat

Walaupun semenjak 2017 berada di belakang penjaga gol utama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias dan Khairulazhan Khalid, Ifwat Akmal masih belum diberikan debut sehingga kini. Adakah Cheng Hoe yang pernah memberikan debutnya bersama Kedah pada 2016 akan melakukannya sekali lagi?

Memiliki peratus aksi menyelamat kedua tertinggi iaitu 69% (29 saves/42 percubaan tepat), penjaga gol utama Kedah ini juga cemerlang dengan 5 cleensheet dalam 14 aksinya musim ini – tidak beraksi ketika tewas kepada Kuala Lumpur di minggu ke-8.

Ratio bolosnya setakat ini juga baik dengan hanya 0.92 untuk satu-satu perlawanan. Jika Cheng Hoe memikirkan untuk debut yang baik buatnya, aksi menentang Nepal ini adalah masanya – Nepal hanya menang 2 daripada 7 perlawanan pada tahun lalu.

Zarif Irfan Hashimuddin

Biarpun boleh dikatakan agak lewat dipanggil untuk menyertai kem Harimau Malaya selain hanyalah ‘pengganti’ kepada Hafizul Hakim yang mengalami kecederaan, Zarif Irfan tetap berbangga dan bersyukur dirinya mendapat perhatian Cheng Hoe.

Zarif Irfan
FOTO: Melaka United SA

Hanya sekali pernah merasai aksi antarabangsa bersama Harimau Muda pada 2013, beliau boleh dikatakan sedang melalui musim terbaiknya dengan merekodkan 73% aksi menyelamat (47 saves/64 percubaan tepat) – terbaik di kalangan mereka bertiga.

Namun, penjaga gol yang pernah menjadi ‘budak bagasi AirAsia’ seterusnya bermain bersama kelab AirAsia Allstars FC ini masih merekodkan bolos terbanyak iaitu 17 gol daripada 14 aksinya – ratio bolos 1.21 untuk satu-satu perlawanan buat PKNS FC.

Untuk rekod cleensheet, ketiga-tiga penjaga gawang adalah setaraf apabila Zarif Irfan juga merekodkan 5 cleensheet dalam 14 aksi. Begitupun, ini merupakan kem pertama Zarif Irfan bersama Cheng Hoe dan kemampuannya pasti akan dinilai terlebih dahulu.

Adakah Zarif Irfan berpeluang memintas Ifwat Akmal untuk meraih debut antarabangsanya bersama Harimau Malaya?

Penutup

Nepal adalah persediaan sebelum Harimau Malaya menyambut ‘lawatan Aidilfitri’ Timor Leste pada 7 dan 11 Jun depan. Selain aksi pemanas badan, ia juga adalah medan buat Cheng Hoe untuk menguji pemain-pemain baharu di dalam senarainya.

Sewajarnya, Farizal Marlias adalah pilihan utama namun, sampai bila perlu disimpan penjaga gol muda lain yang mempamerkan aksi baik dalam saingan liga? Ifwat Akmal dan Zarif Irfan boleh dikatakan sudah bersedia jika diletakkan dalam skuad utama.

Jika Gianluigi Donnarumma pernah diberikan debut antarabangsa bersama Itali di usia 17 tahun pada 2016, rasanya tidak salah untuk Harimau Malaya juga mula memberikan peluang buat pemain lain.

Kita sedia maklum, selepas Farizal Marlias dan Khairul Fahmi yang kini sudah berusia lebih 30 tahun, hanya Hafizul Hakim memiliki kaps antarabangsa terbanyak dengan 9 penampilan. Dan, jika kedua-duanya cedera, kita akan memerlukan penjaga gawang yang cukup ampuh fizikal, mental dan pengalaman untuk beraksi.

Jadi, siapa pula pilihan para pembaca untuk posisi penjaga gol skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan kali ini? Anda boleh kongsikan bersama kami pendapat anda.

Kredit Featured Image: Football Association of Malaysia (Official)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN