Reputasi Selangor sebagai salah satu pasukan yang mempunyai skuad yang serba lengkap ternyata memberikan kebimbangan buat pasukan Pahang yang telah kehilangan beberapa tonggak utamanya pada musim ini.
Pemain-pemain baharu The Red Giants seperti Brendan Gan, Rodney Calvin Akwensivie dan Nicholas Swirad dan bekas pemain Tok Gajah, Ahmad Safuwan Baharudin dilaporkan sudah sedia untuk diturunkan.
Malam ini, kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan dalam aksi pertama bagi saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh dalam kenyataannya kepada Berita Harian mengatkaan, beraksi di gelanggang sendiri tidak semestinya menjadi kelebihan, namun Selangor adalah pasukan pilihan kerana telah membuat persediaan lebih awal dan rapi bagi menghadapi saingan Liga Super pada musim ini.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 56 tahun itu menjelaskan keadaan tersebut bukanlah bermakna skuad bimbingannya akan memberi jalan mudah kerana penyokong Pahang yang hadir ke stadium sudah tentu mengharapkan kemenangan berpihak kepada tuan rumah.
“Saya ingin tegaskan bahawa Tok Gajah kini memiliki benteng pertahanan yang terbaik hasil gandingan pemain tempatan dan import. Kelibat Muslim Ahmad, Herold Goulon, Khalil Khamis dan Faizal Rosli kini begitu serasi.
“Walaupun jentera serangan diketuai Dickson Nwakaeme dan Ivan Carlos masih tidak dapat membentuk persefahaman terbaik namun saya tetap menaruh sepenuh kepercayaan yang mereka mampu menyerlah,” kata jurulatih yang pernah membantu Selangor menjulang kerjuaraan ‘Treble’ itu.
Pahang sebelum ini telah pun kehilangan bintang utama yang juga kapten pasukan, Matthew Davies selepas pemain tersebut berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT). Namun kemasukan Fazly Mazlan dan S. Kumaahran diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pasukan.
Oleh yang demikian, Pahang perlu memilih kapten baharu pasukan dan ianya masih menjadi teka-teka memandangkan Dollah sendiri enggan mendedahkan nama pemain yang dipilih menggantikan Davies.
“Saya perlu mendapatkan persetujuan daripada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang sentiasa memberi sokongan kepada skuad Tok Gajah.
“Kita tunggu malam ini pemain mana yang akan diberi tugas sebagai ketua pasukan…biarlah ia menjadi teka teki,” katanya yang berharap kemenangan milik Pahang malam ini.
Kredit Foto: Pahang FA