Aksi Bertemu Perak, Pengalaman Baharu Nasir Basharudin

Nasir Basharudin

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Mohamad Nasir Basharudin mengakui aksi bertemu Perak pada saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak merupakan pengalaman baharu buat karier beliau.

Selepas menyarung jersi Perak selama sembilan musim, aksi malam ini pastinya membuka lembaran baharu buat pemain berusia 30 tahun itu dan beliau bersedia untuk menjalankan tanggungjawab bersama Terengganu FC pula.

Ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA, Nasir turut mendedahkan perkara tersebut menjadi lumrah buat pemain bola sepak profesional.

”Pengalaman pertama kali dalam karier saya untuk bertemu bekas pasukan (Perak). Namun, sebagai pemain profesional, saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Perkara ini adalah biasa buat pemain bola sepak.”

”Di luar padang, kami adalah kawan manakala di dalam padang pula, kami merupakan lawan yang masing-masing mencari peluang terbaik untuk mencapai kemenangan buat pasukan.”

”Saya turut menjangkakan perlawanan bakal berlangsung dengan sengit kerana sudah pasti TFC dan Perak mahukan kemenangan pada aksi sulung ini. Saya akan berikan yang terbaik jika diberikan peluang beraksi. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” ujar Nasir.

”Perak adalah pasukan yang kuat dari setiap posisi. Mereka juga pastinya datang ke sini untuk tidak pulang dengan tangan kosong.”

Dalam pada itu, Nasir Basharudin turut mengulas mengenai pemain import Perak, Leandro Dos Santos yang sinonim dengan watak ‘budak jahat’ dalam saingan Liga Malaysia.

”Ketika saya bersama Perak, rata-rata pemain pasukan lawan amat tidak gemarkan perwatakan Leandro ketika beraksi. Beliau dikenali sebagai pemain yang sangat agresif dan suka bermain perang psikologi di dalam padang. Tetapi kali ini, saya akan cuba untuk ‘menyukai’ beliau.

Kredit foto: Terengganu Football Club

Leave a Reply