Dengan GK Dibuang Padang & 3 Pemain Gantian Sudah Diguna, Lihat Aksi Penyerang Lille Ini Menjadi GK

Seperti nama gelaran pengurusnya, Lille OSC melakukan sesuatu yang gila dalam perlawanan Ligue 1 menentang RC Strasbourg Alsace (kelab lama Akmal Rizal) di Stade de la Meinau semalam.

Lille yang kini dikendalikan oleh Marcelo ‘El Loco’ Bielsa telah membuat 3 pertukaran pemain pada separuh masa pertama, menyaksikan penjaga gol mereka, Mike Maignan dibuang padang – dan memaksa penyerang mereka, Nicolas de Préville bermain sebagai penjaga gol!

Sejurus selepas de Préville melepaskan gol pertama, Bielsa mengarahkan kaptennya, Ibrahim Amadou pula menjadi penjaga gol. Ini bermakna Lille mempunyai 3 penjaga gol berlainan dalam perlawanan semalam!

3 pertukaran pemain dalam 40 minit pertama

Seawal 20 minit perlawanan berlangsung lagi, Lille sudah membuat langkah kiri selepas 2 pemain kesebelasan utama – Kevin Malcuit (bek kanan) dan Thiago Mendes (tengah) – terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.

Pada minit ke-37, Bielsa membuat pertukaran taktikal dengan mengeluarkan bek kiri, Fodé Ballo-Touré dan memasukkan Rominigue Kouamé.

Bagi sesiapa yang menyaksikan perlawanan tersebut, tak dinafikan Ballo-Touré menghadapi perlawanan sukar semalam apabila berkali-kali ditewaskan penyerang sayap Strasbourg dalam duel 1v1.

Tetapi majoriti peminat Lille di media sosial mempertikaikan tindakan El Loco membuat pertukaran pemain seawal minit ke-37 ketika 2 slot pertukaran pemain sudah digunakan.

Kegilaan Maignan

Ketika kedudukan masih terikat 0-0 dan perlawanan baru berusia 63 minit, giliran penjaga gol Lille pula untuk menjadi orang gila.

Berang dikacau Benjamin Corgnet semasa hendak melakukan sepakan gol, Maignan bertindak membaling bola ke kepala pemain tengah Strasbourg itu – di depan pengadil.

Tindakan Maignan itu membuatkan pengadil tiada pilihan lain selain memberi kad merah.

Kini pasukannya terpaksa bermain dengan 10 orang. Dengan 3 slot pertukaran pemain sudah diguna pada separuh masa pertama, seorang pemain outfield perlu menjadi penjaga gol. Dan dalam perlawanan semalam, pemain outfield tersebut adalah penyerang Nicolas de Préville.

(Photo by Anthony Dibon/Icon Sport)

Pengulas perlawanan memberitahu de Préville gemar menjadi penjaga gol secara suka-suka semasa sesi latihan pasukan. Ini yang membuatkan beliau menawarkan diri menjadi penjaga gol.

Menyelamatkan percubaan 1v1

Aksi de Préville sebagai penjaga gol tidaklah terlalu teruk. Beliau sempat menyelamatkan percubaan penyerang Strasbourg, Idriss Saadi dalam situasi 1v1 – sehingga mendapat pujian.

Bagaimanapun pada minit 74′, de Préville akhirnya tertewas juga selepas gagal menyelamatkan percubaan near post Jonas Martin dari sepakan sudut.

Ketinggalan 0-1, Bielsa mengarahkan de Préville bermain sebagai penyerang semula. Tampil menggantikan beliau di posisi penjaga gol adalah kapten Ibrahim Amadou.

Dengan Amadou di gawang, Lille bolos 2 gol lagi – melalui penalti dan sepakan jarak jauh – untuk menjadikan kedudukan sehingga tamat perlawanan 3-0 berpihak kepada Strasbourg.

Sedutan aksi gila semalam boleh disaksikan dalam video di bawah:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN