Guilherme De Paula terus mencuri tumpuan apabila namanya sekali lagi dipanggil dalam senarai 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki 2020 yang akan berlangsung bermula 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 ini.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak pernah terlepas dari menjadi sasaran kritikan penyokong bola sepak tanah air kerana gagal menampilkan aksi yang diharapkan apabila diturunkan.
Setakat ini, De Paula telah beraksi dalam lima perlawanan dan setiap kali diberi peluang, namanya akan menjadi sebutan disebabkan aksi longlainya dengan tidak banyak berlari dan kurang membuat tekanan terhadap pemain lawan.
“Berlari Sambil Lewa, Berenang Dalam Kolam Buaya” – TMJ Dedah Cara Urus De Paula
Entah apa yang ada dalam kotak fikiran Tan Cheng Hoe ketika ini, penyerang berusia 35 tahun berkenaan masih lagi dipilih untuk menggalas tugas selaku penggempur skuad negara di barisan hadapan sedangkan satu-satunya gol yang pernah dijaringkan olehnya untuk skuad kebangsaan adalah menerusi sepakan penalti.
‘Ketumpulan’ De Paula bersama JDT juga jelas ketara di mana beliau setakat ini hanya menjaringkan satu gol sahaja iaitu ketika menang 4-0 ke atas Kelantan dalam aksi Piala Malaysia peringkat kumpulan tempoh hari.
Maka besarlah harapan seluruh ‘ekor Harimau Malaya’ agar kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 ini menjadi pentas terakhir untuk De Paula membuat kemunculan bersama skuad kebangsaan.
Salah individu, bukan salah program
Pada Ogos lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi memutuskan untuk menangguhkan sementara program naturalisasi selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe gagal memperagakan aksi terbaik di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Bola sepak: Program naturalisasi memang gagal, kata Shebby https://t.co/gXj9v8jYBj
— Malaysiakini (BM) (@mkini_bm) October 12, 2021
Ini selepas dua pemain yang baharu diberi kerakyatan, iaitu De Paula dan Liridon Krasniqi beraksi di bawah tahap yang diharapkan sepanjang tiga perlawanan kompetitif yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UEA) oada Jun lalu.
Menghentikan program naturalisasi apabila pemain naturalisasi gagal menyerlah ibarat mengharamkan penggunaan kenderaan apabila berlaku kemalangan jalanraya.
Apa yang ingin disampaikan adalah tatkala berlakunya sesatu kegagalan, kita perlu mencari di manakah sebenarnya akar atau punca kepada permasalahan itu.
Masalahnya bukanlah pada program naturalisasi itu, tetapi siapakan individu yang bertanggungjawab membuat penilaian sebelum membuat keputusan untuk memberikan status naturalisasi kepada seseorang pemain.
3 Sebab Mengapa Program Naturalisasi FAM Masih Dalam Landasan Tepat
Ketika timbul ura-ura mengenai pengambilan De Paula sebagai pemain naturalisasi, beberapa pihak sudah pun menyarakan pendapat bahawa pemilihan itu perlu dinilai semula kerana mengambil kira beberapa faktor seperti umur, kadar kesungguhan dan sikapnya di atas padang.
Oleh demikian itu, FAM tidak perlu menangguhkan program ini hanya disebabkan kebodohan individu tertentu yang gagal membuat penilaian yang betul.
Romel ‘The Assassin’ Morales
Sembilan gol dari tujuh perlawanan. Itu adalah statistik yang dicatat oleh penyerang Kuala Lumpur City, Romel Morales dalam saingan Piala Malaysia musim ini yang meletakkannya selaku penjaring terbanyak kejohanan.
Malah pasukannya juga dalam landasan terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Selangor 2-0 dalam aksi suku akhir pertama tempoh hari dan penyerang kelahiran Columbia ini merupakan penjaring gol pertama.
2 gol bekalan KL City boleh dikira jaminan untuk ke separuh akhir atau Selangor akan buat comeback di Suku Akhir Kedua nanti?
Siapa cakap Klang Valley Derby suam suam je tu? pic.twitter.com/YUHltu6MMN
— KOPPA (@koppatv) November 16, 2021
Posisi selaku penyerang utama bukanlah posisi sebenar buat Morales. Beliau sebenarnya merupakan seorang pemain tengah menyerang atau lebih gemar bertindak sebagai penyerang kedua.
Tetapi musim ini menyaksikan KL City telah dua kali kehilangan penyerang utamanya iaitu Dominique da Sylva pada awal musim dan kemudian Kyrian Nwabueze selepas tempoh perpindahan kedua.
Mungkin ia menjadi hikmah yang cukup besar untuk pemain berusia 24 tahun ini apabila diberi tanggungjawab sebagai penggempur utama pasukan dan beliau berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.
Ketua Pegawai Operasi KL City, Stanley Bernard dalam temubualnya bersama media telah beberapa kali mengulangi perancangan pihaknya untuk menukar status Moralles kepada ‘pemain tempatan’ dengan menaturalisasikan Morales dan mengikat pemain ini untuk jangka masa panjang.
Kelab Liga-M Pula Bakal Manfaatkan Program Naturalisasi Untuk Kukuhkan Pasukan
Tahun depan pemain ini akan cukup tempoh beraksi selama lima tahun berturut-turut di pentas Liga Malaysia setelah ejennya mengesahkan pemain berkenaan akan terus kekal bersama skuad warga kota pada musim depan.
Maka ia sudah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FIFA untuk KL City memberikan status naturalisasi kepadanya tanpa mendapatkan ‘restu’ dari FAM kerana urusan menaturalisasikan pemain adalah hak setiap pasukan.
Sekiranya Morales terus mempamerkan aksi positif dan mengekalkan ketajamannya di hadapan gol, beliau pada bila-bila boleh dipanggil untuk beraksi sebagai pemain kebangsaan.
Penutup
Mungkin segelintir penyokong bola sepak tempatan juga mahu program naturalisasi untuk skuad kebangsaan dihentikan. Tetapi kita mempunyai beberapa sebab yang kukuh bahawa program ini masih praktikal.
Dunia bola sepak hari ini yang bersifat global berkembang dengan amat pantas di mana hampir semua kuasa besar bola sepak dunia terutamanya negara-negara Eropah turut mengamalkan dasar terbuka ini bagi menambah kekuatan pasukan masing-masing.
Maka program naturalisasi adalah salah satu kaedah untuk merapatkan jurang dengan kuasa-kuasa Asia, namun FAM perlu menggariskan kriteria yang ketat dengan memperkemaskan setiap perkara seperti hala tuju dan mekanisme pemilihan pemain.