Pemain tengah Manchester City Kevin De Bruyne mengaku kalah kepada penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dalam persaingan untuk merebut anugerah PFA Player of the Year (POTY)
Sebelum ini De Bruyne pernah berkata bahawa beliau lebih layak untuk diumumkan sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris pada musim ini, walaupun turut memuji prestasi Salah yang turut dianggap sebagai sensasi oleh De Bruyne.
Namun ketika ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, NBC Sports, De Bruyne mengaku bahawa anugerah tersebut mungkin tidak akan menjadi miliknya walaupun setelah membantu City menewaskan Tottenham Hotspur 3-1.`
Ketika diajukan soalan sama ada Salah sepatutnya dinobatkan dengan anugerah tersebut, De Bruyne berkata:
“Ya, jika anda tidak boleh memilih sesiapa daripada pasukan kami, maka Salah layak memenangi anugerah tersebut.”
“Dan saya rasakan yang beliau akan memenanginya. Salah melalui musim yang hebat, dan bersaing dengan seorang pemain dengan jumlah jaringan terkumpul sebanyak itu, ia tentu sukar untuk sesiapa sahaja.”
“Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi diri saya dan pasukan ini secara keseluruhan.”
Salah menjaringkan gol ke-30 EPL pada Sabtu dan ia juga merupakan gol ke-40 peribadi penyerang antarabangsa Mesir itu dalam semua pertandingan pada musim ini.
Salah dan juga De Bruyne sama-sama dicalonkan untuk anugerah tersebut yang diumumkan semalam. Selain daripada kedua-dua pemain itu, rakan sepasukan De Bruye, Leroy Sane dan David Silva turut berada di dalam senarai.
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane dan penjaga gol Manchester United adalah dua nama lain yang turut berada di dalam senarai tersebut.
Syarat pengundian anugerah tersebut menyebut pemain tidak dibenarkan mengundi diri sendiri atau rakan sepasukan yang tercalon, menyebabkan De Bruyne sudah tidak banyak pilihan.
De Bruyne turut berkata jika berpeluang, beliau akan memberikan undi beliau kepada rakan sepasukan, David Silva yang diberi pelepasan oleh pihak kelab setelah kelahiran pra matang anak lelakinya pada Disember lalu.
“Secara peribadi saya akan mengundi David. Dengan situasi yang dihadapi oleh Silva dengan anaknya, dan turut jarang menjalani latihan bersama pasukan disebabkan itu, prestasi beliau di atas padang masih menakjubkan.”
“Namun jika Salah memenangi anugerah tersebut, itu adalah kerana beliau sememangnya layak untuk menang,” jelas De Bruyne.