Pemain warisan kebangsaan iaitu David Rowley menyatakan beliau akan terus kekal bersama Sri Pahang untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan.
Kenyataan ini dikeluarkan sendiri daripada beliau kepada Semuanya BOLA ketika ditanya tentang masa depannya bersama pasukan tersebut jika kekal atau berhijrah ke kelab baharu.
Malah, pemain ini juga menetapkan sasaran tersendiri pada musim hadapan bersama kelab tersebut untuk tampil lebih baik berbanding tahun lalu.
“Ya, saya akan mengharungi satu lagi musim baharu pada saingan hadapan untuk kekal bersama Sri Pahang dalam saingan Liga M.
“Saya mempunyai sasaran tersendiri untuk mendapatkan keputusan lebih baik bersama kelab pada musim hadapan daripada segi prestasi serta keputusan permainan.
“Saya berharap supaya musim hadapan kami mampu menamatkan cabaran liga di kedudukan ketiga terbaik dan secara peribadi, saya ingin beraksi untuk Malaysia sekali lagi,” ujar Rowley kepada Semuanya BOLA.
Rowley yang beraksi di posisi tengah bertahan boleh dianggap sebagai salah satu percaturan penting buat Fandi Ahmad pada musim lalu terutama sekali untuk memperkukuhkan penguasaan posisi tengah.
Musim lalu menyaksikan Rowley berjaya membantu Tok Gajah untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima terbaik bersama aksi menyakinkan.
Secara keseluruhan, Rowley sudah pun beraksi sebanyak 24 perlawanan musim lalu bagi semua saingan peringkat domestik dengan beberapa posisi telah diletakkan oleh Fandi Ahmad.
Sepanjang beraksi pada musim lalu pemain berusia 33 tahun ini sudah pun meledak tiga gol bersama satu bantuan jaringan secara keseluruhan buat Sri Pahang.
Pemain ini juga sudah lima kali beraksi untuk skuad kebangsaan, dan menjadi antara tunjang penting bagi saingan AFF Championship pada penghujung tahun 2022 bawah kendalian Kim Pan-gon.
Tampil dengan kebolehan untuk beraksi di beberapa posisi, Rowley boleh dianggap sebagai aset penting buat Sri Pahang serta skuad kebangsaan sebenarnya bergantung kepada percaturan taktikal.
Malah, pemain ini juga boleh diletakkan di posisi penyerang berdasarkan kemampuan beliau yang sangat tajam di hadapan gol menerusi tandukan berbisanya.