Pemain Malaysia Ini Dedah Kehidupan Seharian Sebagai Pemain Import Di Liga Divisyen Ke-3 Thailand

David Rowley merupakan pemain bola sepak profesional yang kini bermain di kelab TeBe Berlin, kelab divisyen ke-5 Jerman. Beliau kini berusia 29 tahun.

Pada tahun 2013, Rowley pernah berkelana ke Thailand untuk mengejar cita-citanya bergelar sebagai pemain profesional. Beliau bermain untuk sebuah kelab Selatan Thailand, Chumphon FC yang ketika itu bersaing di divisyen ke-3 Thailand.

Beraksi sebagai pemain tengah, Rowley mendedahkan kehidupan seharian ketika bergelar sebagai pemain import di liga Thailand dalam videonya. Selain beliau, Chumphon FC turut mempunyai 3 lagi pemain import – pertahanan dari Ghana, penjaga gol dari Republik Czech dan penyerang dari Cameroon.

Menurut beliau, pemain-pemain Chumphon FC berlatih setiap hari bermula pukul 4 petang. Latihan adakalanya boleh menjadi terlalu ‘old-school’ tetapi boleh juga menjadi moden, bergantung kepada pendidikan kejurulatihan seseorang jurulatih.

Pemain Thai tidak fizikal

Bermain selama setahun di Thailand, Rowley tidak dapat mengelak daripada membuat perbandingan kualiti pemain Thailand dengan pemain di negara lain yang beliau pernah berkelana.

“Banyak pemain Thailand bagus dari segi teknikal. Tetapi mereka lemah dari segi fizikal. Bagaimanapun mereka boleh berlari tanpa henti di atas padang.”

Beliau turut mendedahkan kualiti teknikal pemain-pemain Thailand ada kalanya lebih baik berbanding pemain-pemain pasukan Australia sendiri, negara kelahirannya.

“Banyak pemain-pemain di liga teratas Thailand mempunyai kualiti teknikal yang saya rasa lebih bagus berbanding pemain pasukan Australia. Anda boleh lihat bagaimana Muangthong United membuatkan Brisbane Roar nampak biasa sahaja di AFC Champions League.”

Tetapi sekali lagi, Rowley nampak satu aspek yang perlu diperbaiki pemain-pemain Thailand.

“Kekuatan mental adalah satu lagi kelemahan terbesar pemain-pemain Thailand. Tapi sukar untuk saya cakap perkara ini kerana budaya Thailand dengan Eropah sangat berlainan.”

Jika dibandingkan tahap kompetitif dan kualiti bola sepak Thailand dengan Jerman, Rowley berpendapat pasukan-pasukan liga divisyen ke-2 Thailand setaraf dengan pasukan bawahan divisyen ke-4 atau pasukan atasan divisyen ke-5 Jerman.

Gaji dan kos sara hidup

Rowley turut mendedahkan gaji beliau (dan pemain-pemain import lain) ketika bermain di liga Thailand.

“Gaji saya pada ketika itu sekitar USD1,200 (RM5,089), tak termasuk bonus jika kami menang perlawanan atau piala. Gaji pemain tempatan pula adalah sekitar USD400-500 (RM1,700-2,100).”

Bagaimanapun kadar gaji anda akan menjadi lain jika anda merupakan pemain import di liga divisyen teratas dan divisyen ke-2 Thailand.

“Majoriti pemain import di liga teratas Thailand meraih gaji sebanyak USD10,000 (RM42,410) sebulan. Pemain import di divisyen ke-2 Thailand pula mendapat kira-kira USD4,000 (RM16,964) sebulan.”

Rowley memberitahu walaupun gajinya kecil, beliau tetap gembira kerana kos sara hidup di pekan Chumphon yang rendah.

“Kos makan saya hanya 40 baht sekali makan. Kos sewa apartmen saya pula hanya USD100 (RM424) sebulan. Ini memberikan saya banyak ruang untuk berbelanja.”

Pengalaman bermain di selatan Thailand

Pernah bermain untuk Narathiwat FC, Rowley turut mendedahkan pengalaman menakutkannya berkelana di wilayah selatan Thailand yang bergolak pada ketika itu.

“Narathiwat jauh lebih menakutkan berbanding Pattani. Banyak pasukan takut datang ke Narathiwat. Polis sentiasa akan mengiringi van pasukan anda hingga ke stadium. Selepas perlawanan, kami langsung tak mandi kerana perlu terus balik.”

Tetapi beliau tetap seronok dapat bermain untuk Narathiwat FC. Semuanya kerana penyokong mereka.

“Penyokong Narathiwat memang terbaik. Kami selalu dapat 7,000 penyokong yang datang ke stadium untuk menyaksikan kami bermain kerana tiada hiburan lain di sana.”

Layak bermain untuk Malaysia

Meskipun dilahirkan di Australia, Rowley layak mewakili Malaysia melalui ibunya.

“Saya dilahirkan di Brisbane, Australia. Bapa saya orang England. Ibu saya orang Malaysia.”

Anda boleh menyaksikan video perkongsian pengalaman Rowley di bawah:

Jika anda mahu melihat sebagus mana kebolehannya sebagai pemain, anda boleh menyaksikan video di bawah:

Malah pangkalan data Football Manager 2018 turut mempunyai profil beliau.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN