Setakat ini, Liverpool menjadi pasukan yang cukup berbisa dalam saingan Premier League.
Dengan belum lagi melepaskan sebarang mata, mereka kini duduk di persada liga di hadapan pencabar terdekat iaitu Chelsea.
Sudah terdapat ura-ura yang mengatakan Liverpool adalah calon ampuh untuk menjulang kejuaraan Premier League di akhir musim.
Namun menurut laporan Metro, terdapat seorang individu berasakan Liverpool tidak akan muncul juara saingan Premier League musim ini.
Individu tersebut ialah bekas pengurus Everton dan juga Manchester United iaitu David Moyes.
Moyes jelas tidak berasakan Liverpool mempunyai peluang yang besar untuk memenangi kejuaraan liga.
“Tidak, saya rasa tidak (Liverpool juara Premier League).”
Justifikasi Moyes kepada kenyataan beliau itu adalah kerana skuad Liverpool yang dibarisi pemain handalan pada 2009 pun belum mampu memenangi liga, apatah lagi skuad pada musim ini?
“Saya rasa Liverpool mempunyai pasukan yang cukup mantap tetapi lihat pada masa terdahulu ketika mereka adalah pasukan handalan.”
“Pada masa itu, mereka ada Xabi Alonso, Steven Gerrard, Javier Mascherano dan Fernando Torres sebagai penyerang utama mereka.”
“Skuad Liverpool pada musim ini adalah bagus, tetapi saya tak pasti sama ada mereka sebagus skuad pada 2009.”
“Mereka bermain dengan corak permainan yang baik dan barisan serangan mereka cukup mantap dan kerana itu saya rasa mereka dianggap pasukan yang cukup berbahaya.”
Kenyataan Moyes ini merupakan satu kenyataan yang cukup berat terutamanya apabila ia hadir dari seorang bekas pengurus pasukan musuh tradisi Liverpool.
Ianya masih terlalu awal untuk mencari jawapan sama adalah Liverpool mampu menjadi juara liga. Sama-sama kita nantikan.