Seperti semua sedia maklum, penjaga gol Liverpool, Loris Karius telah menghadapi detik sukar dalam kariernya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Kiev tempohari.
Pemain kelahiran Jerman itu melepaskan dua jaringan mudah dari Karim Benzema dan Gareth Bale.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan kesilapan yang dilakukannya sekaligus merintis kepada kejuaraan ke-13 buat Real Madrid.
Bagi bekas penjaga gol The Reds sekitar tahun 1992 hingga 1999, David James, beliau menggesa supaya Liverpool memberikan kepercayaan terhadap penjaga gol berusia 24 tahun itu.
James turut menyifatkan Karius sebagai seorang penjaga gol yang berbakat serta merupakan pembelian penting buat Liverpool.
”Dia (Loris Karius) merupakan seorang penjaga gol yang berbakat. Malangnya, ia adalah perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dimana ia tidak cukup tepat buatnya.”
”Penjaga gol adalah posisi yang sukar untuk dimainkan di Liverpool.”
”Saya harap Karius dapat diberikan peluang untuk mencipta rekod dan membuktikan kenapa dia merupakan pembelian penting buat kelab.”
”Saya harap dia dapat kembali bangkit dan membuktikan betapa dia merupakan seorang penjaga gol yang baik.”
Loris Karius mendapat tempat di hati Jurgen Klopp selepas penjaga gol utama, Simon Mignolet mempamerkan aksi sedikit hambar.
Keadaan tersebut telah memberikan peluang buat Karius yang seringkali dipilih untuk menggalas tanggungjawab mengawal gawang Liverpool pada musim ini.
Musim ini, Karius telah beraksi dalam 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan tidak dibolosi dalam 10 aksi manakala gawangnya dibolosi sebanyak 14 jaringan.