Perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini bertukar kepada persaingan 2 penjuru apabila Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menolak pencalonan untuk bertanding jawatan itu.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian, mengakui terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan itu dan menjelaskan faktor ingin memberi fokus kepada jawatan lain termasuk sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).
“Tiada guna kalau kita buat kerja yang tidak boleh membawa manfaat. Banyak lagi kerja lain yang harus saya tumpukan macam ISN, MOM dan sebagainya.
“Semuanya akan membawa manfaat kepada arena sukan negara kalau kita buat mengikut apa yang sudah dirancang. Saya fikir ini adalah langkah baik untuk tidak bertanding dan fokus pada jawatan sedia ada.
“Saya mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat keputusan ini (menolak pencalonan bertanding Presiden FAM) dan saya berharap semua memahami situasi saya,” kata Azim.
https://twitter.com/MediaPhgFA/status/994539667214159873
Nama Azim dicalonkan pada saat akhir oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mencabar dua calon lain iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Malah, Berita Harian sebelum ini melaporkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan hanya Hamidin yang sudah mengesahkan pencalonan untuk merebut kerusi yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.
Annuar juga dilihat masih berteka-teki sama ada menerima atau menolak pencalonannya yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) apabila meminta semua pihak menunggu hingga ke tarikh akhir untuk mengesahkan pencalonan pada Khamis ini.
Azim turut mengesahkan sudah memaklumkan hasratnya untuk menolak pencalonan daripada bertanding jawatan nombor satu FAM itu kepada pengurusan PBNP.
“Saya ambil keputusan untuk tidak menerima pencalonan daripada PBNP, mereka faham dan saya pun sudah berbincang dengan pengurusan tertinggi persatuan itu,” katanya.