Sejak kebelakangan ini, nama Safawi Rasid tiba-tiba menjadi sebutan oleh para peminat bola sepak tempatan selepas beliau mempamerkan aksi cemerlang yang menewaskan Korea Selatan dalam saingan Sukan Asia kelmarin.
Malah, kelibat penyerang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut dikagumi oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyifatkan Safawi merupakan antara pemain tempatan yang berkualiti.
Hamidin bercakap kepada Berita Harian menceritakan penampilan Safawi di atas padang mengingatkan beliau kepada pemain Selangor, Amri Yahyah ketika zaman mudanya.
“Saya tengok pemain ini jelmaan Amri Yahyah yang saya pernah tengok dulu.
“Pemain seperti Safawi dan Amri ketika berumur 19 dan 20, bila masuk ke padang akan beri sepenuhnya sama ada di dalam padang mahupun luar padang.
“Istimewanya dia, bila dia bercakap akan cuba menjaringkan gol, dia pasti akan dapat melakukannya. Saya ingat lagi ketika dia bermain dengan pasukan kebangsaan bertemu Korea Utara pada pusingan kelayakan Piala Asia di Thailand, tahun lalu.
“Dia cakap pada saya yang dia akan jaringkan gol, dan dia memang betul-betul lakukannya. Malah, pemain-pemain lain juga ada sikap sama seperti Akhyar Rashid dan Adam Nor Azlin yang berani tak kira lawan Jepun atau Brazil mereka tetap nak lawan dan beri sepenuh jiwa,” kata Hamidin.
Ketika aksi pertama skuad negara menentang Kyrgyzstan, penyerang kelahiran Dungun, Terengganu itu meledak satu gol serta 2 assist.
Hamidin juga berpendapat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini boleh pergi jauh dan merupakan aset masa depan bola sepak negara.
“Mereka inilah aset masa depan bola sepak Malaysia dan sebahagian daripada skuad ini juga sudah berada dalam pasukan senior. Saya percaya jika dikekalkan, mereka mampu pergi lebih jauh lagi selepas ini,” katanya.