Piala Malaysia: Kemarau Berakhir, Liridon Bantu Kedah Raih Kemenangan Semula

Liridon

Kedah akhirnya menamatkan kemarau kemenangan selepas 7 perlawanan apabila menewaskan MIFA 3-2 dalam saingan Kumpulan C, unifi Piala Malaysia 2018, sebentar tadi.

Kemenangan ini dibantu oleh 2 gol maestro Kedah, Liridon Krasniqi dalam kemunculan pertamanya sejak kali terakhir beraksi dalam perlawanan liga menentang PKNS FC pada 25 Jun lalu.

Kedah pertama kali turun tanpa ketua jurulatih, Nidzam Adzha Yusof yang telah direhatkan oleh pihak pengurusan pasukan dan tugasnya kini dipangku pembantunya, Azzmi Ab Aziz.

MIFA seperti biasa membariskan pasukan dan formasi yang sama ketika merekodkan dua kemenangan sebelum ini dengan sandaran diletakkan kepada Kpah Sherman dan L’Imam Seydi.

15 minit pertama menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman ini dikuasai oleh tuan rumah dengan beberapa percubaan tidak berbahaya dihasilkan.

Minit ke-16, L’Imam Seydi yang melepasi kawalan Alvaro Silva dan Syazwan Tajudin, hampir mengejutkan tuan rumah apabila asakan pertama oleh MIFA itu sekadar singgah di tiang gol.

Walaupun turun dengan rombakan pemain di beberapa posisi, Kedah tampak masih mampu mempamerkan rentak permainan yang baik dengan hantaran-hantaran pendek.

Kedah menggunakan Syazwan Zainon di sayap kiri sebagai fokus utama untuk menyelinap masuk ke defensive third lawan dengan hampir semua hantaran akan diberikan kepadanya.

Sementara MIFA yang tampil dengan 5 blok pertahanan jelas bergantung kepada serangan balas ataupun set-pieces dilihat hanya beberapa kali berjaya mengasak tuan rumah.

Dan pada minit ke-28, Kpah Sherman telah mengejutkan Kedah apabila meledak gol pembukaan buat pasukan pelawat selepas terlepas daripada kawalan pertahanan Kedah.

Hantaran kemas pemain tengah, Bae Beom-geun ke kawasan gol itu telah disambut oleh Sherman untuk meledak gol ke-3 peribadinya dalam saingan Piala Malaysia 2018.

MIFA gagal menambah jurang gol selepas sepakan penalti yang diambil oleh pertahanan, Elizeu Melo di minit ke-39 berjaya diselamatkan oleh Abd Hadi Abd Hamid.

FOTO: FARIZ RUSADIO/Kosmo

Liridon Krasniqi yang membuat penampilan pertamanya sejak 10 Julai lalu berjaya menyamakan kedudukan buat Kedah seminit sebelum berakhir babak pertama menerusi sepakan penalti.

Bermula babak kedua, di minit ke-48, Kedah bolos sekali lagi apabila Syazwan Tajudin menjaringkan gol sendiri selepas tertampan masuk hantaran rendah Bae Beom-geun.

MIFA dilihat semakin bernafsu dengan beberapa asakan ke kubu pertahanan Kedah antaranya percubaan Kpah Sherman yang singgah di palang gol tuan rumah di minit ke-54.

Begitupun, Liridon sekali lagi menjaringkan gol penyamaan dan gol kedua peribadinya pada minit ke-60 selepas menerima hantaran lintang menarik Asri Mardzuki di sisi kanan gol.

Minit ke-66, Sandro membuktikan dirinya memang pakar sepakan percuma apabila berjaya meledak gol buat tuan rumah menewaskan Muhaimin Mohamad untuk kali ketiga.

Ini merupakan gol kedua peribadinya dalam tiga penampilan dalam saingan Piala Malaysia. Keseluruhannya, Sandro telah menyumbang 9 gol buat Helang Merah.

Tiga minit kemudian, pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan selepas tandukkan B. Tinagaran di depan pintu gol berjaya diselamatkan oleh Norfiqrie Talib.

Kemasukkan pemain muda, Hidhir Idris bermula pada babak kedua jelas berjaya menghidupkan semula sayap kanan Kedah selepas Fadzrul Danel dilihat gagal di babak pertama.

Pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob akhirnya meniupkan wisel penamat untuk memberikan kemenangan dan tiga mata berharga buat pasukan Kedah di Piala Malaysia.

Menariknya, sejak Kedah kehilangan khidmat Liridon dalam lima perlawanan terakhir unifi Liga Super dan dua perlawanan Piala Malaysia, mereka gagal meraih sebarang kemenangan.

Dan kehadiran semula Liridon nampaknya memberikan semula kemenangan yang dicari-cari Helang Merah sejak 7 perlawanan bermula di lima perlawanan terakhir liga.

Untuk MIFA, rentak cemerlang dalam dua perlawanan awal Piala Malaysia sebelum ini akhirnya disekat oleh Kedah namun, masih kekal di kedudukan teratas Kumpulan C dengan 6 mata.

Kedah: Abd Hadi Abd Hamid, Alvaro Silva, Syazwan Tajudin, Norfiqrie Talib, Asri Mardzuki, Hanif Mat Dzahir, Liridon Krasniqi, Abd Halim Saari, Syazwan Zainon (90′ Akmal Azmi), Fadzrul Danel Nizam (45′ Hidhir Idris), Sandro (K)

MIFA: Muhaimin Mohamad, Elizeu Melo, Wan Mohd Syukri (86′ M. Youwarasan), J. Satrunan, Zamri Ramli, B. Tinagaran (K), R. Barathkumar (86′ G. Ganiesh), K. Satish (74′ M. Thinaadkhran), Bae Beom-geun, Kpah Sherman, L’Imam Seydi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN