Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan menggesa semua pasukan agar memberikan sokongan penuh buat MFL.
FAM sebagai badan induk bola sepak negara sedar bahawa faktor utama yang mampu membawa kejayaan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa adalah dengan memiliki liga domestik bertaraf profesional dan berkualiti.
Bagi tujuan itu, FAM sentiasa meletakkan pembangunan liga domestik ini sebagai agenda utama yang perlu diberi tumpuan bagi memastikan industri bola sepak di negara ini terus berkembang maju.
Langkah ke arah itu sebenarnya telah lama dimulakan FAM sejak dari awal tahun 1990-an lagi dan seterusnya melalui fasa penswastaan dengan penubuhan FMLLP pada tahun 2015 dan kemudian dikenali sebagai Malaysian Football League (MFL) bagi mengendalikan Liga Malaysia.
”Selepas empat tahun penubuhan MFL ini, saya secara peribadi melihat banyak perkara positif yang telah berjaya dilakukan bagi meningkatkan tahap dan mutu liga domestik di negara ini,”jelas Dato Haji Hamidin.
”Antara perubahan yang dapat dilihat, setiap pasukan yang bertanding kini memiliki kepentingan dalam industri bola sepak Malaysia sebagai pemegang saham di dalam Liga Malaysia dan mereka bukan lagi hanya sebagai ahli gabungan FAM semata-mata.”
”Malah melalui Pelesenan Kelab, kita dapat melihat wakil dari Malaysia kini mampu bersaing di pentas tertinggi Asia apabila mendapat satu slot automatik ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan satu slot lagi ke pusingan playoff ACL.”
”Selain itu, kita telah berjaya mengadakan kerjasama dengan beberapa liga terkemuka dunia seperti La Liga (Sepanyol) dan J.League (Jepun), sekali gus membuktikan struktur Liga Malaysia telah berada dalam landasan tepat selepas MFL mula mempraktikkan sistem atau struktur liga-liga elit tersebut.”
Usaha-usaha berterusan MFL ini juga dapat dilihat dengan penubuhan badan bebas pengadil, Proffesional Match Officials Malaysia (PMOM) seperti di Liga Perdana Inggeris dalam usaha meningkatkan mutu pengadilan Liga Malaysia serta pengenalan peraturan kawalan ekonomi yang dipraktikkan oleh La Liga pada musim depan bagi memantapkan sistem pengurusan kewangan pasukan Liga Malaysia, sekali gus menyelesaikan masalah hutang pasukan.
”Semua ini saya lihat bakal memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada pasukan atau kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia, malah skuad kebangsaan, Harimau Malaya khususnya kerana apabila liga domestik kita mempunyai pelbagai nilai tambah yang mampu meningkatkan kualiti saingannya, sudah tentu ia akan membantu melahirkan pemain-pemain kebangsaan yang lebih berkualiti.”
”Sebagai individu yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam bidang bola sepak ini, sudah tentu saya mengakui bahawa perjalanan masih jauh dan banyak lagi yang perlu dilakukan oleh MFL untuk membawa Liga Malaysia ke tahap tertinggi.”
”Namun, langkah sudah dimulakan dan sudah tentu kita tidak boleh menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus mengorak langkah dan sama-sama membantu MFL untuk memajukan lagi liga domestik di Malaysia ini kerana pada akhirnya nanti, manfaat akan dapat dinikmati oleh semua pihak terlibat termasuk pasukan-pasukan yang bertanding ini.”
”Justeru, saya berharap semua pihak khususnya 24 pasukan yang menjadi rakan kongsi MFL supaya terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam merealisasikan kejayaan yang sama-sama kita impikan selama ini iaitu memartabatkan bola sepak Malaysia.”
”Pasukan-pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super dan Liga Premier diharap agar terus kekal tenang kerana saya cukup yakin dan percaya bahawa MFL akan dapat menyerahkan geran tahunan kepada semua pasukan sedikit masa lagi selepas mereka memuktamadkan beberapa perkara dengan penaja baharu berikutan penamatan kontrak penajaan Telekom Malaysia (TM), bulan lalu.”