Menonton aksi Piala Dunia di kaca televisyen tanpa Itali pasti akan memberi perasaan yang ganjil. Dan perasaan ganjil itu akan kita alami ketika sepak mula kejohanan tersebut mengambil tempat di Rusia pada musim panas nanti.
Realitinya, baik anda seorang penyokong Itali atau pasukan negara lain; ataupun seorang yang neutral untuk bola sepak antarabangsa, perasaan canggung tanpa Itali di kalangan 32 pasukan bertanding meliputi 8 kumpulan pasti akan dirasai.
Pengenalan: Itali dan Piala Dunia
Skuad Azzurri merupakan sebahagian daripada sejarah penting di dalam Piala Dunia sejak kejohanan tersebut diperkenalkan.
Malah Itali merupakan antara juara terawal kejohanan tersebut, apabila menjuarai edisi kedua dan ketiga, masing-masing pada 1934 dan 1938.
Ia adalah kejayaan yang turut dipacu oleh era kegemilangan Benito Mussolini; seorang ahli politik dengan fahaman facism yang amat berpengaruh pada ketika itu.
Namun pada 1949 menyaksikan nahas udara ‘Superga’ meragut keseluruhan anggota skuad ‘Grande Torino’, juga merupakan anggota kesebelasan terbaik Itali di era itu.
Kemudian segalanya tampak harus dibina kembali bagi bola sepak Itali.
Nostalgia kejayaan
Itali harus menunggu sehingga Piala Dunia edisi 1982 untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara berkenaan ke tahap sebelum ini.
Bagi yang pernah menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 1982 (boleh didapati secara rakaman di kedai DVD terpilih), anda pasti teruja dengan sengitnya perlawanan di antara Brazil dan Itali.
Itali dibintangi oleh Paulo Rossi pada ketika itu menjaringkan hatrik untuk menewaskan Brazil 3-2 di pusingan kedua kejohanan. Anda juga pasti mengingati raungan kegembiraan Marco Tardelli selepas menewaskan Jerman Barat di aksi perlawanan akhir.
Atau jika anda tidak pernah menyaksikan cabaran Itali pada 1982, anda pasti mempunyai memori saat Zinedine Zidane melayangkan tandukan ke arah marco Materazzi dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2006.
Malah sebelum Zidane diarahkan keluar padang akibat tindakannya itu, aksi Gianluigi Buffon menolak keluar tandukan deras pemain Perancis itu pasti masih menggamit memori.
Tragedi berulang
Ketika Itali sah gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 60 tahun yang lalu, Buffon adalah antara yang paling terkesan.
Pemain berusia 40 tahun ini menyedari bahawa ini adalah peluang terakhir untuk beraksi di pentas Piala Dunia.
Bersama-sama Buffon adalah Giorgio Chiellini dan Andrea Barzagli- dua pertahanan tengah yang beraksi di hadapan penjaga gol tersebut turut mengalami impian yang sama sebelum ianya dinafikan Sweden.
Namun individu yang paling disasarkan oleh seluruh negara terhadap kegagalan Itali ke Piala Dunia kali ini ialah jurulatih, Giampiero Ventura.
Selain daripada taktikal digunapakai yang sering dikritik, jurulatih veteran itu turut sering menafikan kumpulan pemain yang lebih muda untuk beraksi di dalam skuad ini.
Daripada sebelas pemain yang memulakan aksi penentu menentang Sweden, Ventura memilih untuk menurunkan enam pemain yang sudah melangkaui usia 30 tahun.
Ia adalah malam di San Siro yang seluruh Itali mahu lupakan.
Apa pilihan Itali?
Tatkala kegagalan Itali untuk melayakkan diri ke Piala Dunia menjadi indikasi kesilapan telah dilakukan, negara berkenaan mempunyai dua pilihan untuk menentukan hala tuju seterusnya.
Pertama, terus bertelagah sesama sendiri dan berterusan menangisi nasib mereka. Ataupun mulai mengorak langkah untuk membina bola sepak Itali yang baru.
Walaupun pengganti Ventura belum lagi diumumkan, Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) telah melantik Gigi Di Biagio sebagai pengendali sementara untuk memulakan langkah ini.
Alasannya mudah. Pengendali skuad B-21 Itali itu pasti lebih mengenali pemain muda mana yang mempunyai potensi untuk diketengahkan.
Untuk mengelakkan daripada rasa kempunan, Buffon dipanggil buat kali terakhir dalam perlawanan persahabatan menentang Argentina dan England untuk memberi peluang penjaga gol legenda dengan rekod 175 penampilan untuk negaranya mengucapkan selamat tinggal dengan cara terhormat.
Perancangan jangka masa panjang
Berdasarkan tempoh yang diperlukan oleh FIGC untuk mengumumkan Ketua Jurulatih baharu, nyata kali ini mereka serius mahukan jurulatih yang memahami DNA bola sepak yang mereka mahu peragakan.
Beberapa nama besar di dalam dunia bola sepak mulai menjadi sebutan termasuk Antonio Conte, Claudio Ranieri dan beberapa nama lain.
#NazionaleA
Di Biagio: “Ripartiamo con entusiasmo, dai giovani. Ma chi ama l’Italia deve avere pazienza”https://t.co/TIhk201uTV pic.twitter.com/GPWUc7izSd— FIGC (@FIGC) March 22, 2018
Niat FIGC dan Di Biagio jelas. Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil untuk berhadapan dengan Argentina dan England, menampilkan beberapa pemain muda yang menyinar di peringkat kelab.
Itali tewas kepada Argentina beberapa hari yang lalu. Namun demikian, Di Biagio yakin Itali masih berada di landasan yang tepat untuk kembali bangkit.
“Itali berada di landasan yang tepat untuk bangkit kembali. Kami beraksi dengan baik menentang naib juara dunia.”
“Saya nyatakan apa yang saya mahukan, dan pemain menurutinya. Sudah tentu kami melihat potensi, namun pasukan ini memerlukan masa.”
“Sudah tentu saya berharap perlawanan menentang England, kami akan mampu memperbaiki perkara lain, dan memperolehi keputusan yang diinginkan.” jelas Di Biaggio selepas tewas 2-0 kepada Argentina.
Bagi Di Biagio dan FIGC, ini adalah masa untuk mereka mula melakukan sesuatu. Tidak ada masa untuk bertelagah. Tidak ada masa untuk menangisi. Maruah bola sepak Itali berada di tangan mereka sendiri.
Barisan baru dan muda
Menjelang perlawanan yang akan diadakan di Wembley pada awal pagi nanti, nama seperti Jorginho turut berada di dalam radar.
Pemain berusia 26 tahun ini merupakan pemain yang memiliki rekod hantaran tertinggi di kalangan lima liga utama di Eropah pada musim lalu.- ratio hantaran 98 dalam setiap 90 minit perlawanan.
#NazionaleA – #Azzurri al lavoro a #Coverciano. Jorginho: “Con l’#Argentina vedremo a che livello siamo”#FIGC120 #ilcalciosiamonoi @Adnkronos @CorSport @ansacalciosport @SkySport pic.twitter.com/p3BTA3UVr6
— FIGC (@FIGC) March 21, 2018
Musim ini prestasi cemerlang Jorginho turut diteruskan apabila telah merekodkan 97.3 hantaran untuk setiap 90 minit perlawanan bersama Napoli setakat ini.
Agak menghairankan bagaimana pemain dengan kemampuan Jorginho tiada berada di dalam radar Ventura sebelum ini.
Di Biagio turut menyenaraikan dua penyerang berusia 20 tahun, Federici Chiesa dan Patrick Cutrone (gambar atas), masing-masing cemerlang bersama Fiorentina dan AC Milan.
Pertahanan Juventus Daniele Rugani, Alessandri Florenzi dari Roma, bek kiri Atalanta Leonardo Spinazzola turut dipanggil untuk bergandingan dengan muka lama, Leonardo Bonucci di bahagian pertahanan.
Penutup
Berdasarkan skuad sedia ada dan perlawanan menentang Argentina yang lalu, formasi 4-3-3 jelas kelihatan bakal menjadi sandaran skuad Itali yang baru.
Itali tidak mempunyai masa untuk bertelagah atau terus meratapi kegagalan lalu. Perjalanan masih jauh, tetapi kini kita boleh menyaksikan bagaimana masa hadapan bola sepak Itali kembali dipulihkan.