TMJ Mohon Maaf, Ucap Selamat Maju Jaya Buat Harimau Malaya

Siapa yang tidak sayangkan pasukan negara. Meskipun kerap mengecewakan, tidak ada siapa pun di antara kita rakyat Malaysia yang mahu melihat pasukan negara, Harimau Malaya kecundang di dalam mana-mana perlawanan.

Hakikat itu turut dikongsi oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), walaupun bukan lagi berstatus Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sumber: FAM, Facebook.

Dan perkara itu diluahkan melalui satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi, JOHOR Southern Tigers pada petang tadi.

Dalam kenyataan tersebut, DYAM TMJ berkata:

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya.”

“Saya juga ingin meminta maaf kepada pasukan kebangsaan kerana sepanjang saya menjadi Presiden FAM, anda tidak pernah menang.”

DYAM TMJ juga menegaskan bahawa baginda akan sentiasa mendoakan serta memberikan sokongan kepada jurulatih dan barisan pemain yang mewakili pasukan kebangsaan.

“Saya yakin satu hari nanti pasti anda semua akan bangkit dan akan membuat seluruh negara bangga dengan pencapaian pasukan kebangsaan.”

“Sekali lagi saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua,” ujar baginda menutup kenyataan tersebut.

Pasukan negara akan berhadapan dengan Lubnan pada malam ini dalam perlawanan pusingan kelayakkan Piala Asia 2019.

Skuad Harimau Malaya kemudian kembali ke tanah air untuk menanti kunjungan Bhutan pada 1 April hadapan dalam rangka persiapan Tan Cheng Hoe mencari ramuan terbaik menyediakan pasukan untuk saingan Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini.

Untuk rekod, kedudukan ranking FIFA skuad negara jatuh di paras terendah pada kedudukan ke-178 dunia pada awal Mac lalu setelah pasukan negara mencatat keputusan buruk sepanjang pusingan kelayakkan Piala Asia 2019.

Leave a Reply