Jika usianya dihitung, Stadium Lach Tray yang terletak di Hai Phong, Vietnam sebenarnya seusia dengan Stadium Merdeka – stadium yang dianggap bersejarah dan ikonik sempena kemerdekaan Malaysia.
Namun keadaan Stadium Lach Tray pada 2021 begitu mengejutkan sehingga mendapat kritikan meluas oleh media di Vietnam.
Mampu memuatkan 28,000 penonton, stadium tersebut sebelum ini adalah antara stadium utama yang digunakan untuk menganjurkan perlawanan V-League, dan merupakan gelanggang rasmi Huang Phong FC.
Situasi sedih Stadium Lach Tray
Mungkin disebabkan pandemik yang melanda dunia sehingga menyebabkan industri bola sepak di seluruh dunia turut terjejas, Stadium Lach Tray juga turut menerima tempias pada ketika itu selepas hampir tiga tahun ditinggalkan.
Keadaan rumput padang menjadi gersang kerana tidak lagi diurus dan situasi ini tidak dibantu oleh sistem perparitan stadium yang tidak berfungsi.
Sistem pencahayaan pula tidak menepati piawai yang diperlukan. Manakala kerusi tempat duduk penonton di grandstand utama telah pecah dan rosak, selain sampah sarap yang dibiarkan begitu sahaja di merata ruang stadium.
Lach Tray Stadium – the bad stadium in V.League has begin to be renovated pic.twitter.com/h3TvqPWAnp
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) May 10, 2021
Keperluan-keperluan asas stadium tersebut seperti bilik persalinan, tandas dan sebagainya juga tidak berada di dalam keadaan selamat digunakan.
Membuatkan rakyat Vietnam yang membaca laporan media lebih geram, kawasan tepi padang di stadium tersebut turut digunakan oleh individu tidak dikenali untuk berkebun sayur dan menternak ayam. Disebabkan itulah stadium tersebut mendapat gelaran Stadium Sayur.
Kawasan pagar masuk stadium pula digunakan oleh peniaga kecil berniaga barangan basah dan turut dijadikan pusat penyembelihan haiwan ternakan untuk dijual.
Aktiviti ini menjadikan kawasan sekitar stadium tersebut menjadi busuk, tidak terurus, dan tercemar. Tetapi itu kisah pada 2021.
Dibangunkan kembali
Selepas keadaan daif stadium tersebut mula didedahkan oleh Thanh Nien, pihak kerajaan bertindak menukar pengurusan penyeliaan stadium kepada syarikat baharu.
Presiden baharu Hai Phong FC, Van Tran Hoan turut memutuskan sanggup melabur untuk mengubahsuai stadium itu.
🏟 A year ago, Lach Tray Stadium in Vietnam🇻🇳 was known as a "vegetable stadium" when many of its plots were used to grow vegetables.
After 1 year of renovation, the stadium has reached the standard to host matches of Group B in women's football at the 31st SEA Games. pic.twitter.com/sBlJDN3uFY
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) April 7, 2022
Perkara pertama yang ditukar sudah tentu adalah rumput baharu stadium yang kini menggunakan rumput jenis Bermuda.
Kemudahan lain turut dinaiktaraf. Stadium tersebut kini memiliki bilik sidang media sendiri, bilik persalinan yang selesa untuk pemain, scoreboard baharu dan sistem billboard LED yang moden.
https://youtu.be/5Ol78gJ1G_A
Kemudahan tandas untuk pengunjung turut dilakukan dan kerusi di tempat duduk stadium turut ditukar dengan kelengkapan baharu.
Akhirnya Stadium Lach Tray kini bersedia untuk digunakan kembali. Perlawanan pertama V-League yang diadakan di situ selepas ubahsuai dilakukan adalah pada 2 Mac lalu.
Kini Stadium Lach Tray turut akan digunakan untuk acara bola sepak wanita di temasya Sukan SEA akan datang.