Dari Malvinas Ke Maradona: Bagaimana ‘Tangan Tuhan’ Mengembalikan Martabat Sebuah Negara

Pada tahun 1982, kerajaan junta tentera Argentina di bawah pimpinan Jeneral Leopoldo Galtieri mengambil keputusan untuk menyerang dan merampas Kepulauan Falklands atau lebih dikenali sebagai Islas Malvinas oleh Argentina. Keputusan ini dibuat kerana kerajaan junta tentera yang merampas kuasa melalui kudeta pada tahun 1976 kini berdepan dengan protes rakyat terhadap pemerintahan diktator, pencabulan hak asasi dan kemelesetan ekonomi. Pihak junta lalu merasakan serangan ke atas Malvinas akan mengalih fokus mereka dari isu dalaman negara dan membangkitkan semangat patriotisme rakyat.

Malvinas ketika itu berada di bawah pentadbiran United Kingdom sejak 1833 sebagai wilayah Kepulauan Falklands. Ia adalah wilayah tuntutan bertindih antara Argentina dan United Kingdom. Letaknya pulau ini di bahagian selatan Lautan Atlantik bermakna Malvinas hanya berjarak 483 kilometer dari pantai Argentina, tetapi 12,755 kilometer jauhnya dari kota London. Dari segi strategi ketenteraan, kelebihan jelas berpihak pada Argentina kerana jaraknya yang dekat. Malahan junta tentera Argentina percaya sekiranya mereka menakluki Malvinas, kemungkinan untuk United Kingdom bertindak balas adalah rendah.

Tetapi jangkaan mereka meleset. Sebaik sahaja Malvinas dikuasai dan bendera Argentina dikibarkan pada 2 April 1982, reaksi kerajaan United Kingdom adalah untuk melancarkan operasi ketenteraan dan merampas kembali Malvinas atau Falklands. United Kingdom rupanya sanggup bermatian untuk kepulauan seluas 12,000 kilometer persegi yang jauhnya 12,755 kilometer dari kota London dengan aktiviti ekonomi utama berkisar hanya pada perikanan dan penternakan bebiri.

Hakikatnya, United Kingdom pada tahun 1982 dipimpin seorang perdana menteri wanita bernama Margaret Thatcher. Thatcher berpandangan bahawa United Kingdom pasca Perang Dunia ke-2 adalah sebuah negara yang ketandusan maruah dan hilang sifat kemegahannya, berpunca dari kehilangan Empayar British dan status sebagai kuasa besar dunia yang kini dipegang oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Sentimen rendah diri ini ada kebenarannya, dekolonisasi yang berlaku di Afrika dan Asia selepas tamat perang dunia dan Krisis Suez pada tahun 1956 adalah antara faktor penyumbang kepada kemerosotan United Kingdom. Ia diburukkan lagi dengan situasi ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi.

Lantaran itu, serangan Argentina ke atas Malvinas dilihat sebagai peluang terbaik untuk Thatcher mengubah sentimen rendah diri tadi dan mengembalikan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh United Kingdom. Walaupun mencabar dari segi taktikal, kerajaan United Kingdom tetap meneruskan operasi ketenteraan bagi merampas kembali kepulauan milik mereka. Satu angkatan perang melibatkan sejumlah 127 kapal berlayar dari Portsmouth menuju ke selatan Lautan Atlantik, disokong ribuan tentera dan puluhan pesawat udara dalam salah satu operasi ketenteraan terbesar negara itu sejak tamatnya Perang Dunia ke-2.

Perang Falklands atau disebut Guerra de las Malvinas oleh Argentina berlanjutan selama 74 hari, mengorbankan 649 jiwa di pihak tentera Argentina dan 255 di pihak United Kingdom. Puluhan kapal perang karam di laut dan puluhan pesawat tentera turut ditembak jatuh. Kelebihan material dan kepakaran tentera di pihak United Kingdom bermakna Malvinas atau Falklands berjaya dibebaskan dari cengkaman Argentina dan bendera Union Jack kembali berkibar di selatan Lautan Atlantik.

Kekalahan di pihak Argentina pula mencetuskan protes rakyat yang semakin marak ke atas junta tentera. Akibatnya Jeneral Leopoldo Galtieri dilucutkan dari jawatan serta usaha dibuat untuk mengembalikan demokrasi dan kuasa memilih kerajaan kepada rakyat Argentina. Ia memakan masa setahun sebelum pilihan raya umum dilaksanakan pada tahun 1983. Sebaliknya di United Kingdom kemenangan dalam peperangan ini melonjakkan populariti Margaret Thatcher dan mengembalikan maruah serta rasa kemegahan di kalangan rakyat negara itu.

Dalam erti kata lain, peperangan yang diharapkan oleh kerajaan junta tentera Argentina dapat mengalihkan fokus rakyat dan menyatukan negara itu memberi kesan yang bertentangan, sedang di United Kingdom kemenangan di Falklands atau Malvinas berjaya menyatukan rakyatnya dan mengalihkan fokus mereka dari isu dalaman negara.

Malvinas jelas merupakan satu tamparan besar dan insiden memalukan buat Argentina. Ia merobek kepercayaan rakyat Argentina selama ini bahawa angkatan tentera mereka adalah institusi sakral yang akan melindungi moral dan kedaulatan negara itu. Ia juga mencantas semangat dan keyakinan rakyat negara itu yang kini melihat Argentina, sebagai salah satu kuasa serantau di Amerika Selatan kehilangan taring dan maruah mereka apabila ditundukkan di gelanggang sendiri musuh yang datang datang dari jauh.

Argentina dipersendakan dan dilihat dunia sebagai negara pariah.

Peluang untuk Argentina kembali bangkit dan membalas dendam kepada United Kingdom hanya hadir empat tahun kemudian di Mexico. Bezanya kali ini ia bukan lagi di medan perang, tetapi di padang bola.

Pada tahun 1986, 24 buah pasukan bola sepak terhebat dunia berhimpun di Mexico untuk kejohanan bola sepak paling agung iaitu Piala Dunia. Turut serta dalam senarai 24 buah pasukan ini adalah Argentina dan England (yang dilihat sinonim sebagai United Kingdom).

Pertembungan Argentina dan England dalam Piala Dunia kali pertama berlaku pada tahun 1962 di Chile, dengan kemenangan 3-1 berpihak kepada England. Kedua pasukan sekali lagi bertembung dalam Piala Dunia 1966 kali ini di England, juga sekali lagi menyaksikan England menang 1-0.

Jika perlawanan tahun 1962 tidak mencetuskan sebarang insiden, perlawanan tahun 1966 didakwa Argentina sebagai berat sebelah kerana pengadil yang cenderung memberi kelebihan buat England. Jaringan tunggal Geoff Hurst didakwa ofsaid oleh Argentina, namun diakui sah oleh pengadil. Kemudian kapten pasukan Argentina, Antonio Rattin pula dibuang padang tanpa alasan yang kukuh. England seterusnya menjuarai Piala Dunia pada tahun itu menundukkan Jerman Barat 4-2.

Tetapi signifikan perlawanan tahun 1966 ini adalah kecil jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku pada tahun 1986 di Mexico. Selepas melalui perlawanan peringkat kumpulan, Argentina dan England akhirnya bertembung untuk perlawanan suku akhir dengan memori peperangan empat tahun lalu di Malvinas masih segar dalam ingatan pemain, peminat bola sepak dan rakyat kedua negara.

Pasukan Argentina dalam Piala Dunia 1986 dipimpin oleh kapten pasukan, Diego Maradona. Ini adalah Piala Dunia kedua buat Maradona, selepas yang pertama pada tahun 1982 di Sepanyol berakhir dengan kegagalan sama seperti gagalnya Argentina dalam perang Malvinas tahun yang sama. Tetapi di Mexico pada tahun 1986, Maradona merupakan tonggak utama yang membawa pasukan Argentina ke suku akhir bertemu England.

Perlawanan ini sememangnya panas dan ia dibuktikan dengan pergaduhan antara penyokong kedua pasukan di Mexico City sebelum perlawanan. Ia juga popular kerana pasukan Argentina menukar jersi mereka di saat akhir kerana jersi asal dikatakan memerangkap haba dan tidak sesuai digunakan dalam cuaca panas Mexico. Maradona dikatakan telah memutuskan untuk menggunakan jersi berwarna biru muda yang mereka baru beli di toko sekitar Mexico City sambil berkata penuh yakin, “kita akan menewaskan England dengan jersi ini”.

Perlawanan antara kedua pasukan hambar pada separuh masa pertama tetapi meletup dalam separuh masa kedua, bermula dengan gol pembukaan oleh Argentina yang dijaringkan oleh Maradona. Gol kontroversi yang dinamakan Hand of God ini didakwa (dan kini telah disahkan) dijaringkan oleh Maradona menggunakan tangan beliau sendiri ketika bersaing merebut bola dengan penjaga gol England, Peter Shilton. Ia berlaku di dalam Estadio Azteca yang disaksikan lebih 100,000 penonton. Walaupun kontroversi, jaringan ini tetap diraikan oleh Maradona dan seluruh Argentina. Maradona sendiri mengulas mengenai gol ini dengan mengungkap kembali kisah perang di Malvinas;

“We, as Argentinians, didn’t know what the military was up to. They told us that we were winning the war. But in reality, England was winning 20–0. It was tough. The hype made it seem like we were going to play out another war. I knew it was my hand. It wasn’t my plan but the action happened so fast that the linesman didn’t see me putting my hand in. The referee looked at me and he said: ‘Goal.’ It was a nice feeling like some sort of symbolic revenge against the English.”

Gol Hand of God bukanlah gol yang sah dari segi hukum bola sepak. Ia adalah penipuan yang berjaya di pihak Maradona dan Argentina. Tetapi dek kerana dendam yang dipendam empat tahun lamanya, Maradona dan seluruh Argentina melihat gol tipu daya ini sebagai satu pembalasan yang adil buat England dan United Kingdom. Ia adalah manifestasi bahawa satu negara yang terluka dan dihina sanggup berbuat apa sahaja untuk menuntut bela.

Berselang empat minit selepas gol kontroversi tersebut, Maradona sekali lagi menjadi penjaring untuk gol kedua Argentina. Tetapi gol kedua ini digelar The Goal of the Century kerana kehebatan Maradona melakukan larian solo dari tengah padang, menggelecek lima pemain England termasuk penjaga gol kemudian merembat bola masuk ke gawang lawan. Kehebatan gerakan Maradona dalam menghasilkan jaringan ini menjadikan ia satu gol yang ikonik dalam sejarah bola sepak.

Bertentangan dengan gol pertama yang kontroversi, gol kedua adalah bukti keindahan bola sepak Argentina. Meletakkan kedua-dua gol dalam perlawanan epik ini, ia adalah manifestasi bagaimana Argentina sanggup bermain kotor untuk bangkit selepas kekalahan dan maruah yang dicalar, tetapi pada masa sama membuktikan kebangkitan yang kotor itu penyudahnya akan kembali meletakkan Argentina sebagai sebuah negara bermaruah dan penuh kemegahan.

Jaringan kedua Maradona ini meletakkan Argentina selesa di hadapan, walaupun England kemudian kembali dengan gol jaringan Gary Lineker, ianya sudah terlambat untuk mengubah situasi perlawanan.

Argentina akhirnya beroleh kemenangan 2-1 ke atas England dalam Piala Dunia, kemenangan pertama mereka selepas kekalahan dua perlawanan sebelum ini (1962 dan 1966) dan yang pertama selepas kekalahan dalam Perang Malvinas pada tahun 1982. Dan kemenangan Argentina ini tidak mungkin berlaku jika tidak kerana Diego Maradona, penjaring dua gol yang satunya kontroversi dan satu lagi adalah keindahan bola sepak.

Usai perlawanan, Maradona sendiri mengulas, sekali lagi mengungkap kisah perang di Malvinas;

“Although we had said before the game that football had nothing to do with the Malvinas war, we knew they had killed a lot of Argentine boys there, killed them like little birds. And this was revenge.”

Kenyataan Maradona itu turut diakui oleh bekas pemain Argentina, Robert Perfumo:

“In 1986, winning that game against England was enough. Winning the World Cup was secondary for us. Beating England was our real aim.”

Ya, Argentina seterusnya mara ke perlawanan akhir dan menjuarai Piala Dunia setelah menewaskan Jerman Barat 3-2. Maradona tidak menjaringkan sebarang gol di perlawanan akhir, tetapi seperti kenyataan Perfumo memenangi Piala Dunia adalah perkara nombor dua buat Maradona dan Argentina yang pada ketika itu lebih dahagakan pembalasan dendam ke atas England.

Kejayaan menewaskan England sememangnya merupakan detik peralihan besar buat negara Argentina. Lebih besar dari tumbangnya kediktatoran junta tentera pada tahun 1982 atau kembalinya demokrasi melalui pilihan raya umum tahun 1983. Kemenangan perlawanan suku akhir itu mengembalikan maruah dan martabat Argentina yang selama ini tercalar akibat Malvinas. Buat pertama kalinya, Argentina menundukkan England dalam permainan ciptaan Inggeris. Padang bola Estadio Azteca menjadi medan perang baru buat Argentina menuntut bela dan mereka berhasil melakukannya.

Perseteruan bola sepak Argentina dan England berterusan dalam Piala Dunia 1998 (seri 2-2, Argentina menang penentuan penalti 4-3) dan Piala Dunia 2002 (England pula menang 1-0). Ia masih hangat dan penuh kontroversi, tetapi tidak lagi pada kadar yang sama pada tahun 1986. Pertamanya, mungkin dendam Malvinas sudah terbalas buat Argentina dan perlawanan seterusnya hanya berkisar bola sepak. Kedua, mungkin kerana tiada lagi sosok bernama Diego Maradona.

Di dalam buku biografinya Yo Soy El Diego, Maradona menyatakan dengan jelas signifikan perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 itu:

“Somehow we blamed the English players for everything that had happened, for everything that the Argentinian people had suffered. I know that it sounds crazy but that’s the way we felt. The feeling was stronger than us: we were defending our flag, the dead kids, the survivors.”

Ungkapan Maradona itu cukup untuk menggambarkan betapa besarnya erti perlawanan menentang England buat negara Amerika Latin ini. Dan kehebatan Maradona yang membawa pasukannya menewaskan England seterusnya menjuarai Piala Dunia 1986 meletakkan status Maradona di Argentina setaraf tuhan. Maka tidaklah menghairankan jika di negara itu ada agama Iglesia Maradoniana atau Gereja Maradona yang diasaskan oleh peminat beliau. Maradona bukan sahaja sekadar lagenda bola sepak, beliau adalah tuhan, dewa, santo, negarawan dan bapa kepada semua rakyat Argentina. Maradona adalah sosok yang membawa Argentina keluar dari lembah hina Malvinas.

Hakikat inilah yang meletakkan Maradona jauh lebih tinggi martabatnya berbanding pemain Argentina yang lain, baik Daniel Passarella, Mario Kempes, Gabriel Batistuta, Sergio Aguero bahkan Lionel Messi. Ia juga perkara yang membezakan Maradona dan pemain lagenda bola sepak seluruh dunia seperti Pele, Johan Cruyff atau Franz Beckenbauer. Apa yang dilakukan oleh Maradona untuk Argentina melalui bola sepak, tidak boleh disaingi oleh mana-mana individu lain.

Mendiang Diego Maradona menghembuskan nafas terakhirnya pada 25 November 2020. Beliau selamanya akan dikenang sebagai pemain bola sepak lagenda di kalangan peminat bola sepak seluruh dunia. Tetapi di kalangan rakyat Argentina, Maradona adalah simbol nasionalisme dan kebangkitan Argentina, seorang komrad yang telah mengambalikan maruah dan martabat Argentina dan secara sendirian menuntu bela dan membalas dendam ke atas England (dan juga United Kingdom).

Tenanglah kamu di sana, El Diego. Vamos, vamos, Argentina!

Artikel ini disumbangkan oleh SOLIDARITAS

Sumber gambar: wikimedia

Artikel lain berkenaan Maradona yang mungkin menarik minat anda.

Mehmed Durakovic: Kami Main Di Australia Tetapi Penyokong Hanya Jerit Nama Maradona

Maradona Pernah Pesan Supaya Mayatnya Diawet

Peter Shilton: Maradona Pemain Yang Hebat, Tapi Tiada Semangat Kesukanan

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN