Masihkah anda mengingati tentang The Botaks yang terdiri daripada sekumpulan anak kecil dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi, Cameron Highland?
Aksi cemerlang ditampilkan The Botaks sehingga berjaya mewakili daerah Cameron Highland dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang 2019 seperti diketahui telah mencuri tumpuan kelab bola sepak sosial di Lembah Klang, The Ohana FC.
Meskipun dengan serba kekurangan, ia langsung tidak merentap semangat pemain-pemain cilik ini bagi membanggakan seluruh warga SK Lemoi dan sekaligus membuka ruang buat The Ohana FC dalam merealisasikan usaha murni #ProjekKasutBolaOhana pada 11 dan 12 Jun lalu.
Giliran The Botaks ke Lembah Klang
Pengalaman ke SK Lemoi yang dinikmati pemain The Ohana FC, para penaja dan penulis sendiri sememangnya akan sentiasa terpahat dalam minda setiap daripada kami.
Kenangan ini akan menjadi lebih indah sekiranya adik-adik The Botaks dan warga SK Lemoi pula dapat ke Lembah Klang untuk beraksi di suasana yang lebih memberikan keterujaan buat mereka.
Sehubungan dengan itu, The Ohana FC telah melancarkan kutipan dana terbaru #ProjekOhana yang dinamakan sebagai #ProjekHariSukanOhana.
Projek ini adalah bertujuan untuk menganjurkan karnival sukan membabitkan The Ohana FC bersama-sama pihak yang pernah terlibat dengan pasukan itu seperti The Botaks, Guru SK Lemoi dan Rumah Anak Yatim & Tahfiz Ayah Man.
Ini bermakna The Ohana FC mempunyai peluang untuk ‘membalas dendam’ apabila tewas 1-2 ditangan The Botaks pada perlawanan yang berlangsung di SK Lemoi, tempoh hari.
Karnival sukan yang melibatkan perlawanan bola sepak [lelaki], bola jaring [wanita & perempuan] serta sukaneka itu akan diadakan pada 2 November 2019 di Stadium UM Arena, Universiti Malaya.
Objektif dana
Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, The Ohana FC menerusi #ProjekHariSukanOhana ini mensasarkan untuk mengutip dana berjumlah RM11,500 yang merangkumi sewa stadium dan peralatan sukan, makanan, pengangkutan, penginapan The Botaks dan lain-lain lagi.
Faedah bakal diterima pihak penaja yang terlibat dengan projek ini ialah kerjasama dan penghargaan sebagai penaja sepanjang musim bersama pasukan pendahulu UM Park Super Liga, The Ohana FC.
Personaliti TV3, Hanif Miswan yang juga merupakan salah seorang ahli yang menjayakan #ProjekOhana turut akan membuat posting penghargaan khas menerusi medium laman sosial peribadi beliau.
Selain itu, semua pemain, pengurusan dan penyokong The Ohana FC juga akan membuat penghargaan khas di laman media sosial masing-masing.
Bagi anda yang ingin menyalurkan sumbangan serta mendapatkan sebarang maklumat lanjut, anda boleh terus ke Facebook atau Instagram The Ohana FC!