Bekas pertahanan Manchester City, Danny Mills menegaskan bahawa Kylian Mbappe seharusnya menjadi keutamaan buat The Cityzens untuk memantapkan pasukan berbanding keinginan untuk membawa masuk Lionel Messi.
Sebelum Messi memilih untuk terus kekal bersama Barcelona, Manchester City cukup berminat bagi mendapatkan khidmat pemenang enam kali Ballon d’Or itu dan dikatakan sanggup berbelanja besar membawanya ke Etihad Stadium.
Ketika ramai pastinya teruja berhubung minat ditunjukkan Manchester City itu, Mills memiliki pendapat berbeza apabila merasakan Mbappe seharusnya lebih realistik buat skuad bimbingan Pep Guardiola tersebut.
”Saya tidak berfikir Messi secara realistik menjadi kemungkinan pilihan perpindahan bagi Manchester City,” ujar Mills menurut laporan Goal.
”Seandainya dia berstatus ejen bebas, maka ada kemungkinan itu, tetapi selain daripada itu, ia akan menjadi sangat sukar.”
”Ini yang aneh dengan Lionel Messi. Dia, menurut pendapat saya, pemain terhebat yang pernah saya lihat. Dia benar-benar sensasi. Apabila anda melihatnya secara langsung, dia lebih baik daripada apabila anda melihatnya daripada kaca televisyen.”
”Tetapi ada kes di mana adakah Man City akan sesuai dengannya?”
”Sudah tentu, dia adalah Messi, jadi adakah dia akan bermain berbanding [Sergio] Aguero, adakah dia akan bermain posisi nombor 10 di belakang Aguero? Atau dia akan bermain lebih ‘wide’ berbanding Sterling? Apakah itu bakal menganggu keseimbangan pasukan?
”Mbappe akan menjadi rekrut yang luar biasa buat Man City, namun mereka perlu mempertimbangkan semua perkara melibatkan Financial Fair Play.”
”Selain itu, di mana posisi yang sesuai buatnya? Apakah dia akan menjadi No 9? Apakah dia akan menjadi pengganti kepada Aguero jika [Gabriel] Jesus tidak cukup bagus dan bakal menjadi pemain yang diharapkan oleh Manchester City.”
”Masalahnya ialah minggu yang panjang dalam bola sepak dan tahun yang panjang juga. Mbappe akan menghadapi Euro pada musim panas tahun hadapan dan selepas itu, siapa tahu sesiapa yang akan memburunya,” tambah Mills lagi.
Kredit featured image: Mehdi Taamallah/NurPhoto via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Kylian Mbappe: