Ketua pasukan AS Roma, Daniele De Rossi percaya Liverpool telah menjerat dan menghancurkan taktikal kelab Itali itu dengan corak permainan hantaran jauh (long ball) yang diterapkan pada perlawanan awal pagi tadi.
De Rossi dan rakan sepasukannya juga kelihatan bergelut untuk menyaingi kepantasan terutamanya trio Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.
Bercakap kepada Mediaset Premium, De Rossi turut mengakui bekas rakan sepasukannya dari Mesir itu merupakan duri dalam daging buat AS Roma.
”Kami tahu bahawa Salah merupakan pemain yang hebat dan juga individu hebat.”
”Kami gembira dengannya, walaupun dia menyusahkan kami. Dia sangat meningkat pada ‘final third’ dan menjadi lebih kuat seperti yang kami fikir dia boleh lakukan.”
”Kami boleh berpegang atas apa yang telah kami lakukan ketika di suku akhir. Ianya merupakan tugas kami untuk percaya dan mencuba, untuk kami dan semua orang yang menyayangi Roma.”
”Satu-satunya perbezaan ketika menentang Barcelona yang saya lihat adalah perlawanan tersebut kurang bernasib baik dengan banyak insiden yang diragui.”
”Di sini (Anfield) kami bermula dengan kuat tetapi kemudiannya menderita dengan rentak dan serangan ‘menggila’ dari mereka. Kami perlu mengambil pengajaran untuk perlawanan kedua nanti.”
”Mereka sentiasa pergi untuk hantaran jauh, dari mana-mana sahaja kawasan padang dan ianya menyukarkan kami untuk mengawal ruang apabila pemain mereka lebih pantas berbanding kami.”
”Kami kehilangan idea dengan kualiti hebat mereka. Kami masih memerlukan tiga gol. Kami tahu ianya tidak mustahil. Ia boleh dilakukan dan kami pernah melakukannya sebelum ini.”
”Kami tahu para peminat kami juga masih percaya, kami memberikan mereka satu malam seperti mereka hadapi ketika bertemu Barcelona.”
Jaringan dari Edin Dzeko dan Diego Perotti pada lewat permainan menjadi bekalan buat AS Roma dalam mengulangi persembahan hebat yang dipamerkan ketika bertemu Barcelona tempohari.