Daniel Lau, Graduan Sains Biologi Yang Kini Merupakan Penganalisis Data Di Lion City Sailors

Daniel Lau data Lion City Sailors SPL 3

Apabila melihat wajah Daniel Lau, mungkin ramai akan kata beliau ‘budak nerd’ dan mungkin tidak meminati bola sepak, namun beliau merupakan Penganalisis Data buat Lion City Sailors, sebuah kelab di Singapura.

Tetapi beliau langsung tiada pengalaman untuk membuat analisis tentang bola sepak atau pemain bola sepak secara khususnya. Daniel Lau adalah graduan Sarjana Sains Biologi dari Nanyang Technological University (NTU). Itulah kejutan yang diterimanya apabila Pengurus Besar Lion City Sailors, Badri Ghent mendekatinya.

Badri Ghent menawarkan kerja yang diluar jangkaan iaitu sebagai Penganalisis Data yang mana tidak semua pasukan memilikinya – terutamanya di Singapore Premier League (SPL). Yang pasti, di Malaysia juga kita susah untuk dengar jawatan ini dalam mana-mana pasukan. Sebagaimana yang kita tahu data sangat penting.

Perpindahan Hector Bellerin Ke Real Betis Sanggah ‘Bola Sepak Tidak Dimainkan Berdasarkan Analisis Data’

Analisis data memainkan peranan penting dalam industri bola sepak kini. Namun, masih ada pihak yang menyangkalnya dan ada juga yang mengatakan ‘bola sepak tidak dimainkan berdasarkan analisis data’.

Adakah benar kenyataan mereka? Rata-rata kelab di luar negara telah menggunakannya untuk lebih kompetitif di dalam dan luar padang dengan boleh mengetahui cara untuk meningkat prestasi pemain, posisi terbaik pemain, cara mencegah kecederaan pemain malah cara untuk meningkatkan nilai komersil kelab mereka.

Untuk Daniel Lau, beliau bertanggungjawab untuk memburu pemain berpotensi untuk direkrut mereka. Itu merupakan skop kerjanya ketika ini. Ini bermakna beliau akan menyelusuri pelbagai pangkalan data, analisis statistik dan menonton banyak video melibatkan pemain yang boleh Lion City Sailors rekrut selepas ini.

Daniel Lau data Lion City Sailors SPL
FOTO: Lion City Sailors

“Saya diberikan pelbagai sumber untuk bekerja sebagai contoh Wyscout dan Instat, yang mana ada banyak klip permainan pemain. Ada juga pemain yang dicalonkan oleh beberapa individu atau ejen. Jadi, saya perlu melihat banyak perlawanan bola sepak dan juga nombor,” ujarnya di laman sesawang rasmi Lion City Sailors.

“Nombor boleh bantu berikan maklumat sama ada sesuatu perkara itu baik atau buruk. Tetapi ia tidak dapat memberitahu maklumat mendalam yang hanya boleh diperolehi melalui pengamatan permainan atau melihat pemain bola sepak itu bermain secara langsung. Jadi, adakalanya saya perlu melihat klip pemain tersebut.

“Dan adakalanya saya teragak-agak untuk menunjukkan klip tersebut kepada jurulatih kerana risau penilaian saya tidak betul. Menonton klip video memberi anda maklumat yang lebih,” jelasnya lanjut tentangnya.

Tetapi atas semangat yang diberikan oleh Badri Ghent dan ketua jurulatih, Aurelio Vidmar, beliau semakin mendapat kekuatan diri. Katanya, “Mereka kata, anda akan dapat pelbagai pandangan berbeza jika anda bentangkan tentang seorang pemain kepada 15 orang sekalipun.” Ini yang membantunya jadi lebih berani.

Beliau juga bebas untuk bekerja di luar skop kerjanya seperti membandingkan data pemain-pemain.

Disebabkan aliran pembelajaran ketika pengajiannya, beliau sangat suka data dan nombor. “Tetapi saya merupakan seorang yang sukakan nombor kerana pengajian saya sebelum ini, jadi saya tidak boleh ‘hidup’ tanpa nombor,” ujarnya sambil mengatakan data dikumpulnya adalah berasaskan nombor dan statistik.

“Daripada situ, kita boleh membuat perbandingan antara pemain-pemain berpotensi dan pemain sedia ada dalam pasukan, untuk mengetahui sama ada pemain itu lebih baik daripada pemain sedia ada,” jelasnya.

Antara hasil kerjanya adalah pemain yang sedang hangat dikaitkan dengan Kedah Darul Aman FC, Stipe Plazibat selepas mereka memintanya memburu pemain untuk menggantikan penyerang, Andrew Pengelly.

Perpindahan masuk Stipe Plazibat membuahkan hasil yang lumayan. Beliau menyumbat 14 gol dan muncul sebagai penjaring terbanyak SPL dan membantu mereka menjuarai saingan SPL, malah layak ke saingan AFC Champions League (ACL) musim depan. Namun, beliau langsung tidak mahu dikreditkan atas kejayaan itu.

Ujarnya, “Seperti saya kata, senarai cadangan saya bukanlah 100 peratus akan menerima restu pengendali, Aurelio Vidmar. Ada juga cadangan pemain yang tidak menjadi.” Tetapi, menurutnya, mereka sentiasa cuba yang terbaik untuk membantu pasukan, tambahan pula beliau memang merupakan juga penyokong kelab itu.

Kisah ini mengingatkan penulis kepada seorang penulis bebas dan pengumpul data di Malaysia, Devinder Singh yang kini merupakan Eksekutif Media dan Komunikasi bersama juara Piala Malaysia 2021, KL City FC.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN