Rekrut baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Danial Amier Norhisham menegaskan kelab tersebut mampu untuk mengembangkan lagi karier dan potensinya, di samping beliau ingin mencabar diri agar keluar daripada zon selesa.
Pemain berusia 23 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu telah memeterai kontrak selama dua tahun dan pastinya bakal bersaing hebat dengan pemain-pemain tonggak JDT seperti Natxo Insa, Lucas Velasquez, Nazmi Faiz Mansor dan Afiq Fazail.
Sedar saingan hebat bakal dihadapi ketika bersama skuad juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu, Danial mahu membuktikan dirinya mampu untuk menjadi pemain yang baik buat JDT.
Beliau juga sudah sedia maklum cabaran yang bakal dihadapi malah, tidak melihat kemungkinan memanaskan bangku simpanan sebagai satu kerisauan buatnya.
”Macam saya sendiri sedia maklum sebelum saya tandatangan kontrak dengan JDT, saya sudah tahu JDT ada pemain tengah yang berkualiti, kita ada pemain asing yang bagus.”
”Saya sendiri kena keluar dari zon selesa saya untuk pergi ke sebuah pasukan yang saya tahu boleh meningkatkan lagi karier saya,” ujar Danial bercakap kepada wartawan dalam sidang media di Ibu Pejabat JDT, pagi tadi.
”Saya perlu cabar diri saya untuk buktikan apa yang saya ada, berikan yang terbaik 100 peratus pada sesi latihan dan permainan, Insyaallah saya akan menjadi pemain yang lebih baik dekat JDT.”
”Saya pilih [berhijrah] JDT sendiri ada sebab yang tertentu, saya ada ramai kawan-kawan yang sudah berjaya dekat JDT. Ramai yang bagi saranan untuk saya datang ke sini untuk terus meningkatkan diri saya untuk pergi ke tahap paling tinggi yang saya boleh pergi dalam bola sepak.”
”Kalau nak cakap pasal duduk di bangku simpanan, dekat mana-mana pasukan pun kalau kita tak bagi komitmen 100 peratus dan tak merebut tempat, kita tetap akan duduk di bangku simpanan.”
”Danial [merujuk dirinya] sendiri pernah merasa duduk di bangku simpanan ketika di Felda. Di JDT cuma persaingan akan lebih kuat dan banyak, jadi kalau Danial terlampau fikirkan sangat pasal benda itu, Danial takkan datang ke sini,” tambah beliau lagi.
Kredit featured image: JOHOR Southern Tigers
Baca artikel lain dari kami mengenai JDT:
TMJ Beri ‘Hint’ Akan Bawa Masuk 2 Pemain Naturalisasi Ke JDT