Ketegasan serta bijak dalam mengawal permainan yang ditunjukkan trio pengadil import dari Jepun pada aksi final Shopee Piala FA 2019 bulan lalu nyata mengundang pujian pelbagai pihak.
Di sebalik pujian menggunung tersebut, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun tetap akan memberikan peluang buat pengadil tempatan pada perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.
Menurut sumber Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Asisten Komisioner Md Dali Wahid menjelaskan pengadil tempatan tetap menjadi pilihan dalam memberikan pengalaman buat mereka untuk mengadili perlawanan penting saingan tertua di Asia itu.
Md Dali turut menegaskan bahawa pemilihan Takuto Okabe, Akane Yagi dan Osamu Nomura pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari adalah lebih kepada menjadi proses pembelajaran buat pengadil tempatan untuk menimba ilmu.
“Kita tidak pernah menetapkan pengadil asing akan mengadili perlawanan akhir kerana seperti sedia maklum kehadiran mereka baru-baru ini hanyalah sebagai contoh atau panduan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.”
“Pengadil kita juga berpengalaman dan mempunyai pengetahuan tinggi. Kita tidak perlu meminggirkan mereka terutama membabitkan perlawanan penting.”
Isu pengadilan bukanlah perkara asing dalam kancah bola sepak tempatan dan diharapkan mutu pengadilan pengadil tempatan dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik.