Dah Diterbangkan Khas Dari Jerman, Bila ‘The Special One’ Annil Vigneswaran Nak Diturunkan?

Annil Vigneswaran

Kini penyokong bola sepak negara boleh melakar senyuman selepas skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) mencatat keputusan positif dalam dua perlawanan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Ulaanbatar, Mongolia.

Skuad bimbingan Brad Maloney itu menang dengan keputusan 1-0 dalam kedua-dua perlawanan menerusi penjaring yang sama iaitu Azfar Fikri Azhar untuk mendahului kumpulan J dengan pungutan enam mata, mengatasi pencabar terdekat Thailand yang menundukkan Laos 3-0 pada petang tadi.

Rata-rata pemerhati memuji aksi yang dipamerkan oleh skuad muda negara yang bermain dengan corak permainan yang kemas terutamanya ketika mengawal permainan dan mencatur serangan ke arah kubu lawan.

Mana ‘The Special One’?

Tetapi ada satu perkara yang menimbulkan persoalan, iaitu status pemain ‘istimewa’ Annil Vigneswaran yang diterbangkan khas dari Jerman untuk menyertai skuad negara tanpa perlu menyertai sesi latihan dan perlawanan ujian untuk penilaian.

Bukankah ia sesuatu yang merugikan untuk tidak memberikan pemain berusia 18 tahun ini membuktikan kemampuan dan keupayaan sebenarnya dalam dua perlawanan pertama berdepan pasukan yang boleh dikatakan ‘makanan’ untuk pasukan negara mengutip tiga mata.

Sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat begitu ‘terdesak’ untuk menjawab kritikan pelbagai pihak mengenai keputusan mereka menyenaraikan pemain skuad B-19 SGV Freiburg itu dengan mengeluarkan satu hantaran khas untuk merasionalkan tindakan mereka.

FAM Perjelas Isu Pemilihan Annil Yang Kini Sedia Diamkan Pengkritik

Contoh pemain berkualiti

Sebagai perbandingan, kita boleh lihat bagaimana pemain yang diyakini mempunyai kualiti dipanggil menyertai skuad kebangsaan seperti Dion Cools yang ‘diterbangkan khas’ dari Denmark.

Pemain berusia 25 tahun itu terus diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun hanya tiba menyertai pasukan beberapa hari sebelum perlawanan.

Keputusan itu dibuat oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kerana keyakinan tinggi terhadap kualiti pemain pertahanan FC Midtjylland itu yang sudah berpengalaman luas dalam pentas bola sepak Eropah.

Maka beliau diberi kepercayaan beraksi untuk ketiga-tiga perlawanan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

Walaupun diberi tugasan bermain di pertahanan tengah, iaitu posisi yang berbeza dengan posisi kebiasaannya pertahanan kanan, tetapi aksi dan komitmennya mendapat pujian pelbagai pihak.

Adakah Annil akan diturunkan ketika aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand pada Sabtu ini? Jika benar, tentulah ia satu keputusan yang berisiko untuk Brad Maloney kerana ia merupakan lawan yang jauh lebih sukar berbanding dua pasukan sebelum ini.

Bersikap rasional

Sekali lagi diingatkan, pertikaian mengenai pemilihan Annil bukan dibuat secara semberono, tetapi sejak awal lagi ia telah menjadi persoalan yang cukup besar mengenai keputusan untuk memanggilnya tanpa langsung diuji.

Penjelasan FAM kononnya barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya di dan pernah dibimbing oleh penolong jurulatih, Khan Hung Meng bukanlah jawapan yang konkrit, tetapi hanya menjadi bahan ketawa sahaja.

Jika gunakan alasan pemilihan pemain itu dibuat kerana mempunyai bentuk fizikal yang baik dan tinggi, dalam bahasa kasarnya lebih baik pacakkan sahaja tiang lampu di tengah padang.

Apa yang dimaksudkan adalah pemain ini belum teruji. Sebelum ini namanya dikhabarkan akan menyertai skuad B-19 negara. Berdasarkan usianya ketika ini, mungkin ia pentas yang lebih rasional untuk menyenaraikannya, tetapi bukan skuad B-22 tahun yang jauh berbeza tahap cabarannya di peringkat antarabangsa.

Penutup

Bola sepak dimainkan secara berpasukan, bermakna apa yang penting adalah keserasian dan semua pemain di atas padang memahami corak, taktikal dan falsafah permainan yang mahu diterapkan oleh jurulatih.

Bukanlah satu kesalahan untuk FAM bertindak menyenaraikan seseorang pemain dari Eropah untuk bersama skuad negara, tetapi biarlah ia pemain yang sudah terbukti kualiti dan kemampuannya utuk menjadi tonggak utama pasukan.

Jika sekadar diletakkan di bangku simpanan, tidak perlulah membazir menerbangkannya jauh dari Eropah. Senaraikanlah pemain yang telah pun diuji di hadapan mata tempoh hari. Ia lebih adil dan sekaligus tidak menafikan hak mereka yang lebih layak.

Ini adalah pengajaran besar buat FAM. Berhentilah membuat keputusan yang menimbulkan persoalan dan pertikaian buat pemerhati bola sepak.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN