5 Pemain Yang Memiliki Gaya Permainan Persis Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain terhebat sepanjang zaman yang pernah menghiasi dunia bola sepak.

Beliau sepanjang kariernya pernah memenangi lima gelaran Ballon D’or dan turut mengharungi karier yang cukup menakjubkan baik di peringkat kelab mahupun negara.

Pemain kebangsaan Portugal itu merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa, dan beliau juga turut memegang pelbagai rekod lain.

Beliau dikenali sebagai salah seorang pemain penyerang yang paling versatile dan mempunyai kualiti penyudah yang cukup menakjubkan.

Walaupun sudah berusia 36 tahun, Cristiano Ronaldo tetap mampu bersaing di peringkat tertinggi, dan masih lagi dianggap sebagai antara pemain terhebat dunia.

Alasan mengapa beliau mampu bertahan sehingga ke hari ini semuanya atas segala usaha dan kerja keras yang telah beliau curahkan sejak dari awal kariernya sehingga ke hari ini.

Ronaldo bermula sebagai pemain sayap klasik yang bermain dengan menggunakan skill dan kelincahan yang senantiasa memberi ancaman kepada pemain lawan.

Beliau juga mampu untuk melepaskan rembatan super padu dengan menggunakan kedua-dua belah kakinya.

Melihat kepada ketajaman dan kualiti penyudah yang beliau miliki, Ronaldo di hujung kariernya, beliau lebih kerap bermain di posisi centre-foward.

Tidak mengejutkan juga untuk melihat ramai pemain-pemain muda hari ini, yang mempunyai corak permainan yang sama seperti Ronaldo.

Hal ini kerana kebanyakkan dari mereka membesar dengan menonton aksi hebat dari bintang Portugal itu, dan kerana itulah aksi mereka tidak jauh beza jika dibandingkan dengan Ronaldo.

Berikut merupakan senarai lima pemain yang mempunyai cara permainan yang hampir sama dengan Cristiano Ronaldo.

5) Joao Felix (Atletico Madrid)

Atletico Madrid menandatangani Joao Felix dari Benfica pada musim panas 2019 dengan yuran perpindahan bernilai €126 juta.

Pemain muda itu pada awalnya dianggap sebagai bakat muda terhebat yang dihasilkan oleh Portugal selepas Cristiano Ronaldo.

Felix merupakan antara pemain penyerang yang memiliki skill dan kemahiran teknikal yang tidak menggambarkan usianya.

Sama seperti Ronaldo, pemain muda dari negaranya itu merupakan pemain penyerang yang cukup versatile dan boleh bermain di mana-mana sahaja bahagian di posisi serangan.

Beliau kebiasaannya bermain sebagai second striker ketika beraksi bersama Atletico Madrid di bawah kendalian Diego Simeon.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh Felix adalah kepantasan, kreativiti, vision dan kebolehan untuk menggelecek pemain pertahanan lawan.

Cara permainan beliau sering disamakan dengan gaya permainan Cristiano Ronaldo dan beliau juga dianggap calon pengganti legenda Portugal itu di masa hadapan.

Dengan usianya pada ketika ini baru berusia 21 tahun, perjalanan beliau juga sebenarnya masih panjang dan masih banyak yang boleh beliau pelajari.

Dari 83 perlawanan dalam semua pertandingan untuk Atletico Madrid, beliau telah berjaya menjaringkan 19 gol dan turut mencatatkan 11 assists.

4) Memphis Depay (Barcelona)

Sama seperti Cristiano Ronaldo, Memphis Depay juga pernah memakai jersi nombor tujuh ketika kariernya di Old Trafford sebelum ini.

Walau bagaimanapun, karier bintang Belanda itu bersama Manchester United tidak kekal lama, dengan persembahan hambar yang beliau tunjukkan menyebabkan beliau dilepaskan.

Beliau berjaya menstabilkan dirinya sebagai salah seorang pemain penyerang berkualiti tinggi ketika kariernya bersama Olympique Lyon.

Depay lebih di samakan dengan Ronaldo ketika remaja, bermain di posisi sayap dan membuat larian terus untuk masuk ke kawasan lawan dengan kemampuan menggeleceknya yang digeruni pemain lawan.

Beliau mempunyai kekuatan rembatan dengan menggunakan kaki kanannya dan tidak dinafikan kemampuan beliau itu sedikit lebih baik berbanding Ronaldo sendiri.

Depay juga dianggap sebagai pakar bola mati, dengan beliau turut mempunyai kepantasan ketika membawa bola dan kini berkembang menjadi pemain penyerang yang sangat bijak.

Cara permainan beliau sering disamakan dengan Cristiano Ronaldo, dengan kedua-dua mereka terkenal memiliki kemampuan teknikal dan kemampuan fizikal yang mengagumkan.

Ketika kariernya bersama Olympique Lyon pada tahun 2017 hingga 2021, Depay berjaya menjaringkan 76 gol dan turut mencatatkan 55 assists dari 178 penampilan dalam semua pertandingan.

3) Son Hueng-Min (Tottenham Hotspur)

Pemain penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung Min telah menjadi nadi penting untuk skuad sejak beliau ditandatangani pada tahun 2015 lalu dari Bayer Leverkusen.

Nilai €30 juta yang Spurs bayar untuk mendapatkan khidmatnya jelas sangat berbaloi, dengan pemain kebangsaan Korea Selatan itu ketika ini dianggap antara pemain penyerang terhebat dalam saingan Premier League.

Beliau juga berjaya membina gandingan hebat bersama pemain penyerang kebangsaan England, Harry Kane untuk membantu Spurs kekal di kelompok teratas dalam saingan Premier League.

Beliau mempunyai kepantasan yang menakjubkan dan juga turut memiliki kemampuan menggelecek yang sungguh mengagumkan.

Son merupakan pemain yang paling sukar untuk dikawal oleh pemain pertahanan lawan, dengan kemampuan teknikal serta larian pantas yang sering beliau lakukan.

Beliau juga boleh bermain di mana saja bahagian di posisi serangan, dan antara yang terbaik adalah bermain di posisi sayap kiri, dengan berperanan sebagai inverted winger.

Son juga mempunyai kemampuan tenaga yang dasyat dengan beliau dianggap antara pemain yang tak kenal erti penat dek kerana sumbangan beliau di bahagian serangan dan juga pertahanan.

Cara permainan Son agak sama seperti Cristiano Ronaldo ketika awal kariernya bersama Manchester United dan ketika kemuncak kariernya bersama Real Madrid.

Dari 292 penampilan untuk Tottenham Hotspur dalam semua pertandingan, Son telah berjaya menjaringkan 111 gol dan turut mencatatkan 66 assists.

2) Marcus Rashford (Manchester United)

Walau sukar untuk diterima, namun hakikatnya Marcus Rashford sebenarnya antara pemain penyerang terbaik dalam dunia bola sepak hari ini.

Beliau merupakan pemain sayap yang mempunyai kepantasan yang sungguh menakjubkan, dengan aksi persembahan beliau juga semakin meningkat dan makin matang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Baru berusia 23 tahun, pemain muda Manchester United itu jelas sekali mempunyai masa hadapan yang sangat cerah dalam dunia bola sepak.

Beliau tidak diragukan lagi sememangnya antara produk akademi terbaik yang pernah dihasilkan oleh Manchester United sejak kebelakangan ini.

Corak permainan Rashford terbukti dipengaruhi oleh gaya permainan idolanya sendiri, Cristiano Ronaldo dengan bintang England itu mempunyai kemampuan yang dasyat bila berdepan situasi satu lawan satu.

Beliau juga mempunyai kualiti penyudah yang hampir sama dengan Ronaldo, dengan teknik ‘knuckleball’ beliau terbukti sangat hebat.

Teknik dan skill yang dimiliki oleh Rashford tidak dinafikan lagi sememangnya sangat sukar untuk dibaca oleh penjaga gol pasukan lawan.

Pemain berusia 23 tahun itu juga mempunyai kemampuan yang luar biasa ketika beliau membuat larian dari belakang pemain pertahanan lawan.

Dari 274 penampilan untuk Manchester United dalam semua pertandingan setakat ini, Rashford sudah berjaya menjaringkan 90 gol dan turut mencatatkan 56 assists.

1) Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain)

Bintang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe tidak diragukan lagi sememangnya antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Beliau dianggap sebagai calon pengganti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dengan Kylian Mbappe sudah menjadi pemain elite sejak di usia 19 tahun lagi.

Beliau telah berjaya memenangi gelaran Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Perancis dan turut menjadi pemain muda paling mahal dalam sejarah selepas ditandatangani oleh PSG dengan nilai €180 juta dari AS Monaco.

Mbappe sendiri ketika ditemu bual oleh Marca pada tahun 2017, beliau secara terbuka mengakui yang Cristiano Ronaldo merupakan idola beliau sejak kecil lagi.

Hal itu menjadikan corak permainan beliau dilihat hampir sama seperti Cristiano Ronaldo dengan bintang Perancis itu mempunyai kemampuan gelecekan, kelajuan dan penyudah yang tajam.

Dek kerana kemampuannya itu beliau secara tidak langsung telah menjadi antara pemain yang paling digeruni oleh pemain pertahanan pasukan lawan.

Beliau juga mempunyai kemampuan dalam mencari ruang, dan dengan kepantasan yang beliau miliki, agak mudah untuk Mbappe menewaskan pemain pertahanan lawan.

Beliau sememangnya seorang penyerang yang klinikal sama seperti idolanya Cristiano Ronaldo dan turut mempunyai kemampuan lengkap untuk menjadi pemain terhebat dunia.

Dari 185 penampilan dalam semua pertandingan bersama Paris Saint Germain, beliau telah berjaya menjaringkan 138 gol dan turut mencatatkan 69 assists.

Leave a Reply