Dah Ada Kelab Premier League Mahu Liga Batal Terus Tanpa Juara

West Ham merupakan kelab pertama yang mahu musim 2019/2020 Premier League dibatalkan atau ditamatkan terus tanpa juara dan penyingkiran, jika wabak COVID-19 berlanjutan.

Cadangan ini diutarakan oleh Naib Pengerusi West Ham, Karren Brady (gambar bawah) yang khuatir wabak COVID-19 di United Kingdom akan berlanjutan sehingga menganggu pembukaan musim 2020/2021 pada 8 Ogos akan datang.

Embed from Getty Images

Ketika ini, Premier League baru mengambil tindakan jangka masa pendek dengan menangguhkan semua aksi liga sehingga 3 April. Ini selepas pengurus Arsenal, Mikel Arteta dan pemain Chelsea, Calum Hudson-Odoi menjadi dua individu pertama dalam Premier League yang positif COVID-19 pada minggu lepas.

Brady menulis pendapatnya di Twitter:

“Semua orang setuju Liverpool berhak untuk jadi juara liga. PL dan EFL sedang lakukan semua yang terdaya untuk memastikan musim ditamatkan. Termasuk menangguhkan perlawanan, mengurung pemain dan jika diperlukan bermain di stadium kosong dan [memanjangkan musim] hingga musim panas.”

“Poin saya adalah keselamatan penyokong, pemain dan staf perlu diberikan keutamaan dan jika baki perlawanan tidak boleh dimainkan, satu-satunya penyelesaian yang adil dan munasabah adalah batal Premier League. Tiada siapa tahu apa akan jadi kalau PL/EFL tidak dapat dimainkan secara penuh.”

Seperti yang boleh dijangka, cadangan Brady ini sangat berpolarisasi. Ada yang menyokong dan ada yang menentang keras. Yang menentang tidak berselindung mengatakan Brady mengutarakan cadangan ini untuk menyelamatkan nasib kelabnya yang ada potensi turun liga.

https://twitter.com/mikemccarthy_pt/status/1239215454264180740

West Ham kini berada di tangga ke-16 liga, hanya dibezakan daripada kelompok tiga pasukan terbawah dengan perbezaan jaringan. Pembatalan liga bererti West Ham terselamat dari bahaya penyingkiran.

Dalam kolum mingguan beliau di akhbar The Sun, Brady menulis:

“Pembatalan liga akan berlaku. Dah tak boleh dinafikan lagi EFL dan Premier League akan dibatalkan kerana apabila pemain tak boleh bermain, perlawanan tak boleh diteruskan.

“Ketika ini Premier League berharap penangguhan tiga minggu ini akan membolehkan liga disambung semula. Tapi ini mungkin hanya menjadi angan-angan.

“Apa akan terjadi jika liga tak boleh ditamatkan? Penyelesaian yang adil dan munasabah adalah dengan batal Premier League terus.

“Perkara ini akan dibincangkan oleh kelab-kelab Premier League dalam perjumpaan minggu depan.”

Idea batal Premier League dari Bundesliga

Cadangan membatalkan atau menamatkan terus Premier League ini sudah dibincangkan sejak minggu lepas. Ia berpunca daripada salah satu jalan penyelesaian yang dicadangkan oleh pengelola Bundesliga, DFL jika wabak COVID-19 berlanjutan melebihi tarikh akhir penangguhan.

Menurut cadangan DFL, jika liga dibatalkan terus, tiada pasukan akan tersingkir ke liga bawahnya.

Sebaliknya jumlah pasukan dalam liga akan dinaikkan kepada 22 pasukan – tambahan empat pasukan daripada 18 pasukan sedia ada – supaya pada musim 2020/2021 nanti, tiada pasukan yang ‘lapang’ pada setiap minggu perlawanan.

Empat pasukan yang berada di empat tangga teratas 2. Bundesliga akan dipromosi ke Bundesliga.

Untuk menentukan pasukan mana yang akan layak ke UEFA Champions League dan Europa League, kedudukan pasukan selepas minggu perlawanan ke-26 (minggu ini) akan digunakan.

Ini bermakna jika kedudukan liga sekarang tidak berubah, Bayern Munich, Borussia Dortmund, RB Leipzig dan Borussia Monchengladbach akan layak ke Champions League. Sementara itu, Bayer Leverkusen dan Schalke 04 akan layak ke Europa League.

Kemudian di akhir musim 2020/2021 nanti, empat pasukan akan disingkirkan secara automatik ke 2. Bundesliga. Pasukan kelima terakhir perlu melalui playoff penyingkiran menentang pasukan yang menduduki tempat ketiga 2. Bundesliga.

Reaksi daripada pembaca Semuanya BOLA

Susulan daripada cadangan ini, Semuanya BOLA telah menjalankan kajian pendapat untuk mengetahui respons pembaca kepada usul pembatalan liga ini.

Pada waktu artikel ini ditulis, sebanyak 2,776 pembaca telah mengundi. 1503 atau 54% daripadanya tidak bersetuju Premier League dibatalkan.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai idea pembatalan liga akibat wabak COVID-19 di Eropah:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN