Baru sahaja beraksi di posisi bek kiri Penang FC, kelibat Azmeer Aris sudah berjaya mencuri tumpuan para penyokong, terutamanya selepas ‘merantai’ Safawi Rasid.
Walaupun Penang tumbang 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan kedua Liga Super 2021 itu, aksi beberapa pemain Harimau Kumbang telah mencuri tumpuan ramai terutama pemain bek kiri berusia 22 tahun iaitu Azmeer Aris.
Pada awalnya, ramai menjangkakan, Azmi Muslim bakal kembali dalam kesebelasan utama berdepan juara tujuh kali liga itu selepas diketepikan oleh Azmeer Aris dalam perlawanan pertama berdepan KL United. Namun, sebaliknya telah berlaku.
Even losing 2-0 against the big team in Malaysia. But Azmeer Aris doing his job very well. Controlling Safawi and Matt Davies.
Ryuji Utomo as well! Love to see how he being General of Backline for Penang.
— Syazwan (@WanAlias_) March 9, 2021
Azmeer Aris yang masih mentah dengan suasana Liga Super, malah tidak pernah muncul dalam skuad juara Liga Premier musim lalu itu masih tersenarai. Ramai menjangkakan beliau akan jadi ‘permainan’ pemain terbaik negara, Safawi Rasid.
Sebaliknya berlaku apabila Safawi Rasid yang akhirnya menjadi tidak keruan gagal untuk melepasi kawalan pemain muda itu. Azmeer Aris kerap membayangi pemain sayap kanan JDT itu sehingga akhirnya beliau dikeluarkan pada minit ke-72.
Bukan hanya dalam perlawanan itu sahaja, Azmeer Aris sebenarnya telah ‘merantai’ beberapa pemain lain di posisi tersebut dalam perlawanan lain. Aksinya sangat positif, namun sebenarnya itu bukanlah posisi sebenarnya sejak permulaan kariernya.
Ketika ditanya dalam rancangan Bual Bicara DPP di Youtube, Azmeer Aris telah menyatakan, “Saya baru main [bek kiri] tahun lepas. Masa di saingan Piala Presiden, perlawanan ke-4 baru saya mula bermain di bek kiri, sebelum itu pemain sayap.”
Jadi, bagaimana pemain yang bukan seorang pertahanan boleh merantai pemain sayap terbaik negara? Ketika dipersoalkan mengenai perkara tersebut, Azmeer Aris tidak mahu mengangkat diri terlalu tinggi kerana baginya, dia masih mentah.
Ujarnya mengenai aksinya, “Bagi saya, mungkin dia [Safawi Rasid] tidak memberi 100 peratus dalam perlawanan itu dan itu memudahkan sedikit kerja saya [mengawalnya]. Kalau dia beri 100 peratus, mungkin susah hendak jaga Safawi Rasid.”
Azmeer Aris telah beraksi dalam lima perlawanan bersama Penang dengan telah merekodkan 287 minit permainan dan telah mengatasi dua lagi bek kiri yang lebih senior dalam pasukan iaitu Azmi Muslim (37 minit) dan Azwan Aripin (168 minit).
Jurulatih Penang FC Tomas Trucha akui pertahanan muda Azmeer Aris punyai potensi yang baik untuk skuad bawah 23 tahun negara selepas beraksi cemerlang menyekat kemaraan Safawi Rasid pada Selasa.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 10, 2021
Pengendali Penang, Tomas Trucha ada memberikan komentarnya terhadap prestasi Azmeer Aris dalam sidang media ketika mereka terikat tanpa jaringan berdepan UiTM FC, “Kita perlu berhati-hati dalam menggunakannya dengan sebaiknya.”
“Saya gembira kerana ketika ini kami ada Azwan Aripin dan Azmi Muslim bersedia [untuk bermain]. Perkara penting untuk pemain muda adalah konsistensi. Kami sentiasa bekerja dan berinteraksi bersamanya,” jelas Tomas Trucha mengenainya.
Barisan benteng Penang sedikit mengejutkan banyak pihak apabila mempamerkan disiplin tinggi ketika bertahan walaupun hanya Rafael Vitor dikekalkan daripada skuad musim lalu. Tiga pemain lain adalah pemain baharu iaitu pemain Indonesia, Ryuji Utomo, Quentin Cheng yang dipinjam dari Selangor FC dan Azmeer Aris.
Untuk rekod, selepas lima perlawanan Liga Super 2021, Harimau Kumbang telah mencatatkan bolos paling sedikit bersama JDT dengan hanya tiga gol dibolosi.
KREDIT FEATURED IMAGE: PENANG FC
Baca lagi artikel lain mengenai Penang FC:
Liga Super 2021: 5 Perkara Kemenangan JDT, ‘Berpeluh’ Tundukkan Penang FC
Casagrande Atau Sheriddin Boboev, Penang FC Perlu Buat Keputusan
Tomas Trucha Beri Pandangan, Adakah Ini Perlawanan Terbaik Penang FC?