Ketika usianya sudah mencecah 34 tahun, mungkin ramai yang beranggapan Cristiano Ronaldo semakin menghampiri penurunan prestasi terbaik yang dikecapinya sebelum ini.
Namun, ia seakan-akan tidak menjadi masalah buat ‘superstar’ kelahiran Funchal, Portugal itu apabila beliau terus mempamerkan kualiti hebat dimilikinya dengan menjaringkan gol ke-20 peribadi bersama Juventus yang merupakan musim pertamanya bersama kelab tersebut.
Jaringan ke-20 tersebut menjelma pada perlawanan Serie A awal pagi tadi apabila Ronaldo menanduk masuk bola pada minit ke-70 (gol kedua perlawana) ketika membantu Juventus menang 3-0 bertemu Sassuolo.
Menurut sumber Goal, Ronaldo telah menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam semua pertandingan buat 13 musim berturut-turut.
Pencapaian tersebut ternyata membuktikan aksi konsisten yang dipamerkan Ronaldo dan masih tidak nampak tanda-tanda bahawa prestasi beliau akan menunjukkan penurunan.
Daripada 20 jaringan yang dihasilkan Cristiano Ronaldo bersama Juventus, 18 gol daripadanya dijaringkan dalam saingan Serie A.
Jumlah tersebut sekaligus menjadikannya kini selaku penjaring terbanyak liga, berkelebihan dua jaringan di hadapan Fabio Quagliarella dari Sampdoria.
Setelah menikmati karier yang cukup gemilang bersama Real Madrid, Ronaldo memilih untuk berhijrah ke kelab Turin tersebut pada musim panas yang lalu.
Bersama Real Madrid, beliau berjaya menjaringkan 450 gol dalam 438 penampilan serta berjaya membantu Los Blancos memenangi 15 kejuaraan utama sepanjang sembilan tahun di Madrid.
Nama Cristiano Ronaldo mula meningkat naik selepas berhijrah dari Sporting Lisbon ke Manchester United (menjaringkan 118 gol dalam 292 penampilan).