Quantcast

BERITA

Kelayakan ACL 2019: Sokongan Padu Penyokong Perak Sangat Diperlukan

Pengendali skuad The Bos Gaurus, Mehmed Durakovic mengharapkan ribuan penyokong Perak membanjiri stadium malam esok untuk memberikan sokongan padu kepada pemainnya.

Perak dijadualkan menentang kelab dari Hong Kong, Kitchee FC dalam perlawanan kelayakan kedua AFC Champions League pada pukul 9.00 malam esok. Pemenang perlawanan ini akan mara ke peringkat play-off menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC.

Ia merupakan perlawanan yang penting dan sokongan padu daripada penyokong ditagih bagi mencapai impian mereka beraksi di peringkat tertinggi asia.

“Saya berharap kami akan mendapat sokongan padu seperti ketika menentang Kedah. Hampir setiap ruang dipenuhi penonton,” kata Mehmed Durakovic dalam Stadium Astro.

FOTO: Perak TBG

Mengulas mengenai pertemuan menentang Kitchee FC esok, Durakovic menjelaskan mereka berdepan tugas yang berat kerana beberapa pemain utama dilanda kecederaan sehingga menyukarkannya untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik.

“Ia sememangnya perlawanan yang sukar dan saya menuntut aksi terbaik daripada setiap pemain.

“Saya berharap mereka dapat menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk menghasilkan pencapaian terbaik,” katanya.

Brendan Gan menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Super musim ini. FOTO: Perak TBG

Beliau turut mengesahkan pemain pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim dan pemain tengah, Norhakim Hassan mengalami kecederaan semasa beraksi menentang Kedah dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.

“Kami bermain menentang dua pasukan handalan, iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kemudian Kedah. Itulah harga yang perlu dibayar, namun mereka masih ada 48 jam untuk pulih.

“Saya akan tunggu hingga ke saat-saat akhir sebelum membuat keputusan mengenai kedudukan mereka menjelang perlawanan itu,” katanya.

Jurulatih dari Australia itu yakin pemain Perak kini teruja untuk beraksi dalam perlawanan peringkat antarabangsa itu yang akan memberikan pengalaman berbeza buat mereka.

“Beraksi di peringkat tertinggi seperti ini memang menjadi idaman setiap pemain bola sepak.

“Saya percaya pemain Perak tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan ini,” ujarnya.