Cristiano Ronaldo dilaporkan mencapai persetujuan dengan kerajaan Sepanyol untuk membayar £16.4 juta denda, dan penjara dua tahun yang ditangguhkan membabitkan kesalahan mengelak dari membayar cukai.
Bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo dituduh pada tahun lalu atas kesalahan cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai oleh pihak berkuasa di Sepanyol.
Ronaldo dikaitkan dengan nilai cukai bernilai £12.9 juta, dan kesalahan tersebut dinafikan oleh pemain tersebut sebelum ini.
Ronaldo dilaporkan telah menawarkan untuk membayar £12.9 juta pada Jun 2017 tahun lalu, namun tawaran tersebut ditolak oleh kerajaan Sepanyol.
Berita mengenai kes cukai Ronaldo tiba beberapa jam sebelum Ronaldo dan Portugal berhadapan dengan Sepanyol dalam saingan Kumpulan B di Rusia.
Ia jelas tidak menjejaskan tumpuan Ronaldo yang menjaringkan hatrik untuk mengikat Sepanyol 3-3 dalam perlawanan tersebut.
Walaupun dijatuhkan penjara selama dua tahun, Ronaldo tidak akan dipenjarakan kerana undang-undang di Sepanyol membenarkan setiap kesalahan pertama boleh dielakkan sebelum diletak di bawah pemerhatian.
Selain daripada Ronaldo, antara nama besar di dalam bola sepak yang pernah terpalit oleh undang-undang pencukaian Sepanyol ialah Lionel Messi, Javier Mascherano dan juga Jose Mourinho.
Ketiga-tiga personaliti bola sepak tersebut turut terpaksa akur membayar denda yang diarahkan oleh pihak mahkamah Sepanyol.
Namun seperti Ronaldo, tidak ada di antara mereka dipenjarakan akibat kesalahan tersebut.