Kecuali trofi Piala Dunia, karier Cristiano Ronaldo boleh dikatakan cukup lengkap dengan pelbagai kejuaraan dan pengiktirafan diterimanya sepanjang bergelar pemain bola sepak di pentas saingan utama bermula musim 2002/03.
Sudah 19 tahun bergelumang dalam kancah bola sepak profesional, sudah pasti pemenang lima kali Ballon d’Or ini mempunyai pemain pertahanan yang sentiasa memberikan masalah buatnya ketika beraksi di atas padang.
Menurut satu wawancara El Chiringuito TV pada tahun 2018, Ronaldo mendedahkan bahawa bekas pertahanan kiri Arsenal dan Chelsea, Ashley Cole merupakan pemain yang seringkali menghantuinya terutamanya sewaktu menyarung jersi Manchester United pada musim 2003/04 hingga 2008/09.
Ia bukanlah pertama kali Ronaldo menyatakan kekagumannya terhadap keupayaan Ashley Cole apabila dua tahun sebelum itu, beliau berkongsikan kepada majalah ‘Coach Magazine’ tentang kehebatan bekas pertahanan skuad kebangsaan England itu.
”Selama bertahun-tahun saya menikmati ‘pertempuran’ hebat dengan Ashley Cole,” ujar Ronaldo menurut laporan dikeluarkan Sport Bible.
”Dia tidak memberikan anda sedikit masa pun untuk bernafas [ketika beraksi].”
”Dia merupakan seorang pemain yang cukup gigih ketika di puncak prestasinya. Dia seorang pertahanan yang pantas, memiliki terjahan yang keras.”
”Anda tahu, dia tidak akan memberikan perlawanan yang mudah buat anda,” tambah Ronaldo lagi.
Menjulang dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Arsenal termasuk salah satunya ketika The Gunners bergelar ‘The Invincibles’, Ashley Cole memilih untuk berhijrah ke Chelsea pada musim 2006/07, yang mana perpindahan tersebut menjadi sesuatu yang begitu kontroversi.
Ketika menyarung jersi Chelsea, Cole berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah 2011/12, EPL 2009/10 serta memenangi Piala FA sebanyak empat kali. Semalam, 20 Disember merupakan hari ulang tahun kelahiran yang ke-40 buat Cole.
Kredit featured image:
Baca artikel lain dari kami mengenai Cristiano Ronaldo:
Komited Jaga Prestasi, Cristiano Ronaldo Tidak Mabuk Ketika Krismas
Cristiano Ronaldo: Saya Tak Pernah Pun Anggap Messi Sebagai Pesaing Saya