Terdapat satu laporan menyebut bahawa Villa Park disenaraikan untuk dikongsi bersama antara Aston Villa dengan Coventry City.
Coventry kini bermain dalam EFL League One, divisyen ketiga Inggeris.
Laporan itu telah tular sejak beberapa hari lalu di sekitar Birmingham dan kawasan berdekatannya.
Coventry berhijrah lagi?
Segalanya bermula apabila Majlis Bandaraya Coventry membuat penilaian aset di bawah harga sebenar Ricoh Arena, stadium di mana Coventry City beraksi.
Pada sebelum itu, stadium itu telah dijual kepada sebuah pasukan ragbi. SISU, pemilik Coventry City telah menghantar saman kepada pihak berkuasa tempatan itu.
English Football League (EFL) memerhatikan perkembangan tidak sihat yang menimpa Coventry. EFL memberikan amaran agar kes pertikaian ini dapat diselesaikan sebelum 25 April.
Penyelesaian masalah ini termasuk perkara berkaitan stadium manakah akan digunakan Coventry sebagai laman sendiri. Jika gagal, Coventry akan ditendang keluar daripada liga itu mulai musim hadapan.
SISU dilaporkan sedang berusaha membina stadium baru khas untuk Coventry bagi menamatkan kemelut ini. Walaupun kelab itu baru sahaja berpindah dari Ricoh Arena dari Highfield Road tidak sampai 20 tahun.
Ricoh yang riuh
Pada musim 2013/14, Coventry terpaksa menumpang stadium Northampton Town. Mereka terpaksa menumpang disebabkan kemelut sewa dengan pemilik asal Ricoh Arena.
EFL dilaporkan telah menghantar pegawai untuk meninjau beberapa stadium untuk membantu Coventry City. Stadium baharu itu hendaklah kira-kira 50 batu dari pusat bandar raya Coventry
Antara memasuki senarai ialah Villa Park (Aston Villa), St. Andrew (Birmingham City), City Ground (Nottingham Forest), Pride Park (Derby).
Hawthrons yang digunakan oleh West Bromwich Albion turut dikatakan memasuki senarai. Sixfield Stadium yang pernah digunakan oleh Coventry juga terpilih untuk disenaraikan.
Coventry antara nama yang agak dikenali dalam persada Liga Perdana Inggeris. Mereka bermain di liga terkenal itu dari musim 1992/93 sehingga 2000/01.
Semoga ada sinar buat Coventry.