Quantcast

BERITA

Virtual Bundesliga SEA: AmTuah Gagal Pertahan Kejuaraan, Beri Bayangan Bersara

Telah berlangsung pertandingan TAG Heuer Virtual Bundesliga International Series bagi rantau Asia Tenggara pada 31 Mac 2018 bertempat di Battle Arena, Petaling Jaya yang menyaksikan dua wakil Malaysia Amirul “AmTuah” dan Putera “Killer” Sufrie telah layak  ke pusingan suku akhir dan menentang wakil dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

Kejohanan Virtual Bundesliga yang diadakan setiap tahun ini adalah untuk mencari pemain terbaik dari Asia Tenggara dan mewakili rantau ini ke kejohanan dunia di Jerman dan berentap untuk memenangi barangan ekslusif Bundesliga dan wang kemenangan yang bernilai lebih USD10,000.

Untuk kejohanan peringkat Asia Tenggara ini, 4 zon telah berentap untuk menghantar 4 pemain terbaik mereka melalui playoff- Zon Malaysia, Zon Indonesia, Timor Leste & Brunei, Zon Singapura, Kemboja, Vietnam & Filpina dan Zon Myanmar, Laos & Thailand.

4 wakil dari zon ini pula berentap dengan 4 pemain wild card di pusingan suku akhir untuk menentukan wakil yang bakal layak ke peringkat akhir Virtual Bundesliga 2019 di Jerman.

Nasib Pemain Baru

Pemain e-sukan amatur Malaysia, Putera Sufrie Nizam yang menggunakan gelaran “killer” muncul sebagai wakil melalui penentuan playoff yang berlangsung semalam. Debut pertama pemain berusia 19 tahun ini di peringkat antarabangsa bagaimanapun berakhir setelah beliau tewas 2-6 kepada pemain wildcard profesional dari Indonesia, SFI.rainesual.

Bercakap kepada SemuanyaBOLA, Putera mengakui bahawa perasaan gemuruh yang dialaminya telah mengagalkan usaha beliau untuk menunjukkan gaya permainan sebenarnya.

“Permainan tadi merupakan perlawanan antarabangsa saya. Jadi sebenarnya saya gemuruh. Kali pertama bermain di atas pentas, mewakili Malaysia, perasaan gemuruh banyak mengganggu prestasi saya,” katanya yang kini memasang impian untuk menjadi pemain professional.

Juara Bertahan Tewas

Wakil wild card Malaysia, AmTuah bagaimanapun tidak mempunyai banyak masalah untuk mengenepikan wakil playoff dari Thailand, MSC.TDKeane dengan kemenagan agregat 2-1 dan layak ke pusingan separuh akhir untuk bertemu seorang lagi Thailand, Wisuwat.

AmTuah bagaimanapun gagal mengekalkan gelaran juara Virtual Bundesliga yang dipegangnya pada musim lepas apabila tewas 9-0 kepada pemain wildcard Thailand itu.

“Hari ini bukan saya tak cuba sedaya upaya saya, tapi hadir sebagai juara bertahan, sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada saya dan menggangu fokus saya sewaktu bermain,” jelas AmTuah.

“Mungkin juga, terdapat kelebihan untuk wakil Thailand kerana saya bermain menentang wakil play off mereka (TDKeane) di pusingan suku akhir, jadi sedikit sebanyak gaya permainan dan taktikal saya telah diketahui oleh mereka.”

Ditanya mengenai perkembangan e-sukan bola sepak di Asia Tenggara, pemain e-sukan professional Malaysia yang berusia 25 tahun ini mengakui bahawa sudah nampak peningkatan yang sangat ketara dari segi sambutan, sokongan dan skill permainan pemain dari rantau ini.

“Sebenarnya, daya saing dalam e-sukan di Asia Tenggara makin meningkat, kualiti pemain juga semakin naik kerana kita sering menghantar wakil ke kejohanan-kejohanan utama dunia. Jadi, sangat berbeza dengan waktu saya mula-mula menyertainya pada tahun 2016.”

AmTuah Beri Bayangan Untuk Bersara

AmTuah juga sempat memberikan bayangan bahawa dia sudah bersedia untuk meninggalkan dunia e-sukan sebagai atlet dan terjun ke bidang pengurusan pasukan.

“Saya dah semakin tua, saya mungkin dah tak lama dalam industri ini sebagai pemain. Mungkin sudah lama saya dalam bidang ni, selama 5 tahun sejak saya berumur 20 tahun, secara kompetatif, ini mungkin tahun terakhir saya.”

“Mungkin, saya akan menjadi pengurus untuk pasukan e-sukan. Malaysia kini punyai ramai bakat-bakat baru dalam dunia e-sukan yang masih muda, kita ada pemain yang umur 18 tahun yang mewakili Malaysia, kita ada Fenrir yang akan ke Manchester bulan depan, yang baru berumur 21, maksudnya jika saya tidak lagi bermain untuk Malaysia, masih ada ramai lagi atlet-atlet e-sukan lain yang akan mewakili Malaysia,” jelas AmTuah kepada SemuanyaBOLA.

“Wisuwat” Wakil Baru Asia Tenggara Ke Jerman

Pemain Thailand yang menewaskan AmTuah di peringkat separuh akhir, Wisuwat telah mengesahkan tempatnya di kejohanan Virtual Bundesliga dunia di Jerman pada tahun ini apabila berjaya menewaskan pemain playoff Indonesia di peringkat separuh ahir RRQ.Eggssy, dengan jaringan agregat 3-1.

Beliau membawa pulang trofi kejuaraan, wang tunai RM5,000, barangan ekslusif Bundesliga serta 2 pakej perjalanan serba tanggung ke kejohanan dunia di Jerman manakala pemenang tempat kedua pula membawa pulang wang tunai RM2,000 dan barangan ekslusif Bundesliga.