Kini, sudah tiba masanya untuk kembali menunjukkan kesetiaan.
Pemain tengah Liverpool, Philippe Coutinho menjadi subjek utama kepada siri perpindahan di kelab tersebut dengan siri perpindahan ke kelab La Liga – Barcelona.
Perpindahan yang sering dicampur dengan pelbagai kisah ini menyaksikan akhirnya pemain Brazil itu tidak berpindah ke mana-mana.
Beliau kemudiannya kekal saja di Liverpool untuk sekurang-kurangnya separuh daripada aksi musim bola sepak Eropah musim ini.
Coutinho tidak bermain untuk Liverpool sejak dari hari pertama Premier League serta perlawanan play-off UEFA Champions League menentang Hoffenheim.
Beliau akhirnya beraksi untuk Liverpool selepas diturunkan sebagai pemain gantian ketika aksi menentang Sevilla.
Kembali setia
Ketika bercakap untuk ESPN Brasil, Coutinho akhirnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya mengenai perpindahan ke Barcelona yang tidak menjadi kenyataan itu.
Beliau mengakui tertarik dengan tawaran yang dilakukan oleh Barcelona. Maka tidak hairanlah beliau menghantar permohonan berpindah kepada pengurusan Liverpool.
“Saya mengaku memang saya tertarik dengan tawaran Barcelona ketika itu.”
“Namun kini selepas semuanya tidak menjadi, saya mahu terus fokus bersama-sama Liverpool dan memperoleh musim yang baik bersama-sama mereka serta pasukan Brazil.”
Menurutnya lagi, beliau rasa gembira apabila menerima tawaran dari kelab seperti Barcelona. Namun dalam masa yang sama, beliau berasa bangga dapat bermain dengan kelab seperti Liverpool.
“Ia adalah satu penghargaan untuk menerima tawaran bermain untuk kelab seperti Barcelona tetapi ia satu penghargaan untuk bermain untuk Liverpool juga.”
“Saya sentiasa menghormati kelab Liverpool dan penyokong mereka.”
Sumber:
- Metro (2017): Philippe Coutinho finally breaks silence over failed Barcelona transfer; http://metro.co.uk/2017/09/16/philippe-coutinho-finally-breaks-silence-over-failed-barcelona-transfer-6933534/