Penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois terpaksa menunggu sehingga tamatnya kempen Piala Dunia bersama Belgium sebelum menentukan hala tuju masa hadapannya selepas ini.
Namun demikian, Courtois tidak menyembunyikan niatnya untuk kembali ke Madrid untuk membenarkan beliau berada lebih dekat dengan keluarga.
Courtois mempunyai kontrak di Stamford Bridge sehingga 2019, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.
Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu berkata keutamaan akan diberikan agar beliau boleh meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anaknya yang menetap di ibu kota Sepanyol itu.
Namun penjaga gol berusia 26 tahun itu mengakui sebarang keputusan mengenai masa hadapannya hanya akan diselesaikan selepas tamat tugasan antarabangsa bersama Belgium di Rusia.
“Saya suka tinggal di London. Madrid dan London, kedua-duanya sangat hebat,” ujar Courtois ketika ditemuramah wartawan Sport selepas membantu pasukannya menewaskan Jepun di pusingan kalah mati.
“Satu-satunya masalahnya kini ialah anak dan keluarga yang menetap di Madrid. Sudah tentu saya mahu berada lebih dekat dengan mereka.”
“Tidak semestinya saya akan kembali ke Madrid sekarang. Tetapi bagi saya, mereka adalah keutamaan, dan saya sanggup melakukan apa sahaja untuk meluangkan lebih masa bersama mereka,” ujar Courtois.
Chelsea menandatangani Courtois dari Genk pada 2011, sebelum membenarkan penjaga gol tersebut beraksi secara pinjaman bersama Atletico selama tiga musim.
Walaupun mahu menyelesaikan prihal keluarga dan masa depannya, Courtois menegaskan tumpuan utama beliau pada masa kini sepenuhnya diberikan kepada kempen Belgium di Piala Dunia.
“Saya tidak akan berbicara mengenai perkara itu sekarang. Saya sudah jelaskan bahawa saya akan melihat kembali perkara tersebut selepas Piala Dunia.”
“Perkara terpenting ialah anak-anak saya. Dan saya akan mengambil keputusan terbaik untuk diri saya di dalam setiap aspek,” ujar beliau lagi.