Pemegang rekod juara 30 kali, Barcelona telah disingkirkan dari saingan Piala Raja Sepanyol selepas tewas tipis 1-0 kepada Athletic Bilbao pada Khamis hasil jaringan pada minit kecederaan oleh Inaki Williams.
Penyerang Sepanyol itu menyudahkan hantaran lintang dari sebelah kanan dengan membuat sedikit sentuhan menerusi tandukan yang menewaskan penjaga gol, Marc Andre Ter Stegen dan sekaligus menggamatkan suasana di San Memes.
Situasi tersebut seperti mengulangi perlawanan pada awal musim yang menyaksikan Los Leones turut menumpuskan Barcelona dalam perlawanan pertama pada awal musim dengan keputusan yang sama hasil jaringan lewat penyerang veteren Aritz Aduriz.
Dengan kemenangan ini, Athletic Bilbao akan menyertai Real Sociedad yang menumpaskan satu lagi pasukan pilihan Real Madrid serta dua lagi pasukan iaitu Granada dan kelab divisyen kedua, Mirandes untuk undian peringkat separuh akhir.
Buat kali pertama sejak 17 tahun, peringkat separuh akhir saingan piala ini tanpa tiga kelab utama, Real Madrid, Barca dan Atletico Madrid.
Kekalahan Barca ini bakal menambah lagi ‘masalah’ yang sedang melanda Barca selepas kapten pasukan, Lionel Messi sebelum ini mengkritik pengarah sukan kelab, Eric Abidal. Ousmane Dembele pula yang sudah disahkan akan terlepas baki sangan musim ini kerana kecederaan hamstring.
Pertahanan kelab Catalan itu, Gerrard Pique berkata, pasukan itu kini perlu bersatu hati untuk berdepan dengan tempoh sukar dan prestasi yang tidak menentu.
“Sekarang ini bukan masa untuk merumitkan lagi masalah. Apa yang saya boleh katakan, kami yakin 100 peratus akan kemampuan pasukan ini dan saya percaya prestasi buruk ketika ini menggambarkan ‘masalah’ yang kami sedang hadapi ketika ini,” kata Pique.
Ianya turut memberi kesan kepada pengendali baharu, Quiue Setien yang ternyata kecewa dengan penyingkiran tersebut.
Inaki Williams yang muncul hero buat pasukannya ternyata sangat gembira dapat ‘membalas dendam’ terhadap Barca yang telah menyingkirkan pasukannya pada 2016 dan 2017. Athletic Bilbao turut tewas dengan lawan yang sama dalam perlawanan akhir pada 2009, 2012 dan 2015.
“Saya hampir hilang kata-kata, kamu tidak seharusnya berputus asa. Penyokong kami berhak untuk meraikan saat-saat indah ini selepas setia menyokong kami dan saya harap kami dapat merealisasikan impian mereka untuk melihat kami menjulang kejuaraan.”